Rugi RM418,400 ditipu jejaka dari Perancis - Utusan Malaysia

Rugi RM418,400 ditipu jejaka dari Perancis

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Hasrat seorang wanita yang pada mulanya ingin mencari jodoh, namun berakhir dengan dia dikecewakan selain menanggung kerugian RM418,400 akibat ditipu jejaka dari Perancis.

Kejadian bermula pada 22 Disember lalu apabila mangsa berusia 27 tahun berkenalan dengan lelaki bernama Khalish.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa dari Jerantut itu dan suspek berkenalan menerusi aplikasi mencari jodoh, Cintaku.

Menurutnya, Khalish memperkenalkan diri sebagai ahli perniagaan dan menjalankan bisnes di Perancis untuk memikat wanita yang sudah tidak bekerja itu.

“Selepas berkenalan, mangsa telah menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp.

“Pada 26 Disember lalu, Khalish memaklumkan mahu memberi hadiah berupa wang kepada mangsa,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ujar Mohd. Wazir, suspek meminta mangsa memberikan nombor akaun bank untuk membuat pemindahan wang dan arahan tersebut dituruti oleh wanita itu.

“Suspek menghantar gambar cek bernilai 18,000.00 Euro dan pada 27 Disember, mangsa menerima e-mel dari [email protected]m memaklumkan akan dibayar RM89,700.

“Bagaimanapun, mangsa dikehendaki membayar RM2,000. Selepas wanita itu membayar, Khalish sering meminta wang untuk tujuan proses bagi mendapat hadiah dijanjikan tersebut,” tambahnya.

Kata Mohd. Wazir lagi, bermula 27 Disember hingga 19 Februari lalu, mangsa telah melakukan 44 transaksi ke dalam sembilan akaun berlainan yang diberikan suspek.

“Mangsa akhirnya menyedari tertipu dan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya