PARIT: Kerajaan memperuntukkan RM29 juta bagi menaik taraf sistem pengairan sawah di kawasan Parit dalam daerah Perak Tengah, di sini dan sebahagian Kuala Kangsar yang memberi manfaat kepada lebih 4,000 pesawah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia melibatkan enam tali air iaitu Rumah Pam Bota Kiri, Pendiat, Parit, Senin dan Lambor Kiri di Parit serta Rumah Pam Sayong di Kuala Kangsar.
“Peruntukan ini adalah Rolling Plan 1 dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12). Buat permulaan, kerja menaik taraf itu dilakukan di Rumah Pam Bota Kiri dan Pendiat terlebih dahulu.
“Sekarang dalam peringkat dokumentasi dan dijangka tender boleh dikeluarkan pada Julai ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat kawasan projek penanaman padi Parlimen Parit di Pondok Ladang Bendang Parit, di sini hari ini.
Yang hadir sama Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed dan ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah.
Menurut Ahmad, apabila projek menaik taraf itu siap, ia meningkatkan keberkesanan pengurusan air ke kawasan sawah YANG secara tidak langsung dapat meningkatkan hasil padi seterusnya meningkatkan pendapatan petani.
Pada masa sama, katanya, kerja-kerja menaik taraf tali air daripada tanah kepada konkrit sepanjang 11 kilometer dan pembinaan jalan ladang sepanjang 10 kilometer bernilai RM8.2 juta di kawasan Ladang Bendang Parit yang sedang dilaksanakan, dijangka siap kira-kira tiga bulan lagi.
Dalam lawatan itu, beliau turut meluluskan peruntukan segera RM100,000 untuk penyelenggaraan tali air dan jalan ladang di kawasan tersebut.
Menurutnya, kawasan sawah padi di Parit yang juga dikenali Sawah Padi Kubang Aji seluas 3,165 hektar mempunyai potensi berdaya maju dalam mengeluarkan hasil padi yang banyak.
Katanya, walaupun kawasan itu berada di luar Jelapang Padi, ia mampu menghasilkan purata 4.3 metrik tan padi sehektar atau penanaman dua musim setahun berbanding purata pengeluaran hasil padi seluruh Perak sebanyak 3.1 metrik tan sehektar.
“Cuma kawasan ini sering menghadapi masalah pengairan terutama ketika musim kemarau,” katanya. – UTUSAN ONLINE