JASIN: Kerajaan menyediakan pinjaman sebanyak RM16 juta kepada usahawan industri perkayuan bumiputera dalam usaha mengukuhkan kedudukan untuk bersaing secara kompetitif di pasaran domestik dan global.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, pinjaman di bawah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) itu diberikan khusus bagi membolehkan usahawan terlibat membeli bekalan bahan mentah.
Katanya, jumlah pinjaman yang diluluskan dibayar secara terus kepada pembekal untuk menyediakan bahan mentah diperlukan oleh syarikat yang kekurangan modal bagi menampung permintaan pasaran masing-masing.
“Bantuan sebanyak RM16 juta ini adalah sebahagian langkah pihak kerajaan bagi menyokong usaha untuk menambah bilangan usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan di samping membantu meningkatkan produktiviti perusahaan menerusi pembelian bahan mentah.
“Usaha ini juga bagi merealisasikan sasaran 700 usahawan baharu dapat dilahirkan yang melibatkan 600 usahawan Bumiputera menjelang tahun 2025 melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di NZA Wood Trading Sdn. Bhd. di Semujuk, di sini, hari ini. UTUSAN ONLINE