KUALA NERUS: Kira-kira 474,000 penoreh getah di negara ini bakal menerima bantuan bagi mengatasi masalah penyakit luruh daun (pestalotiopsis) yang menyerang tanaman mereka ketika ini.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, bantuan yang akan diberikan ialah bahan semburan untuk merawat kulat yang menjangkiti daun, dahan, tangkai dan buah pokok getah.
Katanya, pihaknya telah memohon peruntukan kira-kira RM10 juta daripada Kementerian Kewangan bagi tujuan tersebut.
“Penyakit berkenaan boleh mendatangkan kerugian besar terutama kepada penoreh-penoreh kecil sekiranya tidak dirawat dengan baik.
“Kita sudah mengkaji cara mengawal penyakit kulat yang bermula di Indonesia ini dan akan turun padang untuk melihat sendiri proses rawatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan Ceria Ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini semalam.
Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, tiada keperluan untuk mengaktifkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) selepas harga purata getah sekerap mencatatkan kenaikan, pada bulan ini.
Katanya, walaupun cuaca panas memberi kesan kepada hasil pengeluaran getah namun ada dalam kalangan pembeli yang membeli pada harga lebih tinggi daripada pasaran.
“Harga purata untuk bulan ini mencapai RM3 untuk sekilogram, malah boleh terjual sehingga RM3.40 dan RM3.50 untuk sekilogram,” katanya.