RM1.65 juta arak lari cukai dirampas - Utusan Malaysia

RM1.65 juta arak lari cukai dirampas

ABDUL LATIF Abdul Kadir (kiri) menunjukkan pelbagai jenama minuman keras dengan nilai anggaran cukai sebanyak RM1.65 juta yang dirampas JKDM. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas pelbagai jenama minuman keras dengan nilai anggaran cukai sebanyak RM1.65 juta dalam serbuan di Puchong, Selangor, minggu lalu. 

Kesemua minuman keras beranggaran 18,241.82 liter itu dirampas kira-kira pukul 7.30 petang di sebuah premis, Gudang Berlesen Awam, 9 Mac lalu. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, turut ditahan dalam serbuan itu adalah empat lelaki yang terdiri daripada dua lelaki tempatan dan dua warga asing. 

Beliau berkata, kesemua suspek dalam lingkungan usia 24 hingga 47 tahun itu diberkas selepas didapati cuba menempatkan pelbagai minuman keras yang diseludup di gudang tersebut. 

“Hasil risikan, sepasukan penguat kuasa JKDM dari Cawangan Narkotik bersama Cawangan Penguatkuasaaan JKDM Melaka telah menahan sebuah treler di lokasi berkenaan. 

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berat itu kita menemukan minuman keras tidak bercukai pelbagai jenama bernilai RM139,809.41 dengan anggaran duti RM1.65 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Ayer Keroh di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, modus operandi yang digunakan bagi kegiatan itu adalah dengan memanipulasi Borang Nombor 8 sebagai lakonan bagi menempatkan minuman keras tersebut yang dibawa dari Pelabuhan Klang. 

“Selepas kita memeriksa borang tersebut, kita dapati jenis barang-barang yang diisytiharkan tidak sama iaitu hanya minuman keras jenis beer, tetapi, di dalam muatan tersebut terdapat arak beralkohol tinggi (liqueur). 

“Jadi, mereka ini telah memanipulasikan pergerakan minuman keras bagi melakukan transit dari Pelabuhan Klang ke Gudang Berlesen Awam, Puchong,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya