RM1.5 juta naik taraf Jeti Sungai Pinang Kecil - Utusan Malaysia

RM1.5 juta naik taraf Jeti Sungai Pinang Kecil

KEADAAN Jeti Sungai Pinang Kecil yang akan dinaik taraf untuk kemudahan penduduk Pulau Pangkor. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kerajaan Perak memperuntuk RM1.5 juta untuk menaik taraf Jeti Sungai Pinang Kecil di Pulau Pangkor sebagai kemudahan penduduk keluar masuk ke pulau peranginan itu.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, apabila sudah dinaik taraf dan dibuka semula nanti, ia bakal menjadi jeti utama kepada penduduk pulau tersebut.

Katanya, ia juga akan menjadi jeti kedua selepas Jeti Pulau Pangkor yang ketika ini menjadi satu-satunya jeti utama ke Pulau Bebas Cukai (PBC) itu.

“Jeti Sungai Pinang Kecil ini akan turut mempunyai kemudahan kaunter seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun saiznya sedikit kecil berbanding Jeti Pulau Pangkor,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke jeti tersebut hari ini.

Jeti Sungai Pinang Kecil itu ditutup sejak 2019 selepas pulau tersebut diisytiharkan sebagai PBC dan Jeti Pulau Pangkor menjadi satu-satunya jeti utama dari Lumut ke pulau peranginan itu.

Saarani berkata, kerja-kerja menaik taraf itu dijangka bermula bulan ini dan sehingga kini proses persiapan dokumen tender jeti tersebut sedang diusahakan.

Menurut beliau, keputusan untuk menaik taraf dan membuka semula jeti tersebut dibuat selepas mengambil kira rungutan dan aduan penduduk yang terpaksa berkongsi dengan pelancong menggunakan jeti utama Pulau Pangkor.

“Kita sudah lulus RM1.5 juta dalam bajet. Diharapkan cukuplah namun kadang kala ia (kos) bertambah kerana kos pembinaan di Pulau Pangkor agak meningkat mungkin 40 peratus dari tempat lain kerana kos pengangkutan.

“Kalau tidak dapat siap tahun ini, tahun depan, bergantung kepada proses, walau bagaimanapun kita akan mulakan tahun ini,” jelasnya.

Ditanya sama ada pelancong juga boleh menggunakan jeti itu apabila dibuka nanti, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian.

“Rungutan penduduk tempatan yang mahu jeti boleh guna dipercepatkan. Jadi, kita memenuhi hasrat itu,”katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya