RM1.5 juta bantu 6,000 wanita Pahang jalani saringan kanser payu dara - Utusan Malaysia

RM1.5 juta bantu 6,000 wanita Pahang jalani saringan kanser payu dara

WAN Rosdy Wan Ismail (tengah) menyampaikan replika cek RM1.5 juta kepada Shahaniza Shamsuddin (kanan) di Dewan Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan, Lipis, Pahang hari ini UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan kepada Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) untuk melaksanakan program Cakna Suri bagi membuat ujian mamogram kanser payu dara secara percuma kepada 6,000 wanita di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kos untuk seorang menjalani pemeriksaan itu sebanyak RM150 yang dibiayai kerajaan negeri.

Katanya, tiga pusat pemeriksaan disediakan iaitu Pahang Medical Centre (PMC), IIUM Medical Centre dan Darul Makmur Medical Centre (DMMC).

Menurut beliau, menerusi ujian itu membolehkan mereka dalam kalangan wanita membuat saringan awal bagi mengesan kanser payu dara.

“Telah terbukti, ujian mamogram sangat berkesan untuk menyelamatkan nyawa terutamanya bagi wanita berusia 50 tahun dan ke atas, yang tidak menunjukkan sebarang gejala kanser payudara,” katanya ketika melancarkan program Cakna Suri dan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada imam di Dewan Laman Sejahtera Sungai Koyan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor.

Wan Rosdy berkata, ujian mamogram dilaksanakan oleh MPWP dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tambah beliau, sebanyak 14 program Jelajah Peduli Keluarga akan dilaksanakan di 14 kawasan Parlimen sepanjang tahun ini sebagai pencetus kesedaran penjagaan kesihatan dalam kalangan wanita.

Katanya, program itu membantu dalam mengurangkan tekanan dan meningkatkan daya tahan serta kesihatan mental keluarga terbabit.

Untuk BPP, beliau berkata, sebanyak RM774,000 diperuntukkan kepada 1,032 imam di negeri ini yang mana masing-masing menerima RM750. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya