PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan pembangunan sungai di sepanjang Kuala Lumpur dikenali projek River City, dengan pembinaan sungai dua tingkat sejauh dua kilometer pada fasa pertama.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, projek berkenaan yang akan dimulakan tahun ini menggunakan teknologi dari Korea Selatan itu membolehkan sungai dijadikan aktiviti rekreasi manakala sepanjang tebing sungai pula dilaksanakan pembangunan moden dilengkapi kemudahan riadah dan ruang perniagaan kepada para peniaga kecil.
Katanya, projek tersebut yang melibatkan peruntukan kira-kira RM500 juta akan menjadikan satu-satunya kawasan di Malaysia melaksanakan pembangunan sedemikian sekali gus melengkapkan projek River Of Life sebagaimana di ibu kota dalam tempoh tiga tahun lagi.
“Projek yang dibangunkan syarikat kontraktor tempatan ini mengambil kira perlunya sungai di Kuala Lumpur diusahakan dan diperindahkan bukan sahaja soal kualiti air, tetapi sepanjang tebing sungai harus dimanfaatkan sekurang-kurangnya bagi membolehkan aktiviti riadah dijalankan.
“Dengan kaedah ini akan memberi impak kepada pembangunan sekitar bermula dari Kampung Puah hingga ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sejauh dua kilometer dibuat secara dua tingkat sebagaimana telah pun dilaksanakan di negara-negara maju lain seperti Sungai Cheonggyecheon di Korea Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi di bawahnya, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Annuar berkata, aliran trafik lebih lancar bakal diselesaikan di Kampung Baru apabila projek Kampung Baru Loops akan dilaksanakan yang akan menghubungkan dengan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
Kata beliau, dalam perancangan tiga tahun itu, ia membolehkan Kampung Baru mempunyai jalan keluar dan masuk melalui kedua-dua lebuh raya itu.
Beliau memberitahu, jalan tanpa tol melibatkan peruntukan RM250 juta itu akan turut dibina terowong bermula Jalan Raja Abdullah melalui Jalan Sultan Ismail dan kembali memasuki AKLEH tanpa perlu lagi melalui persimpangan lampu isyarat.
“Projek ini kritikal kerana dikelilingi kawasan pesat pembangunan. Ini merupakan prasyarat utama membolehkan pembangunan lebih besar boleh dilakukan dalam Kampung Baru sendiri.
“Ia sekali gus mampu menyelesaikan masalah aliran trafik lebih baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE