PUTRAJAYA: Pelan Strategik Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat bagi tempoh 2021-2025 dilancarkan mengandungi lapan teras utama bagi kesejahteraan rakyat negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, lapan teras itu ialah memperkasa wanita, memperkukuh institusi keluarga, melindungi dan membangun kanak-kanak dan memantapkan persekitaran kondusif warga emas.
Selain itu katanya, memperkasa orang kurang upaya, meningkatkan kemandirian Kumpulan Khusus, meningkatkan keterlihatan negara di peringkat antarabangsa serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
“Pelan strategik ini akan menjadi rujukan utama bagi menetapkan hala tuju perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian dalam setiap penggubalan dasar, pembangunan pelan dan perancangan program atau aktiviti untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perhimpunan bulanan kementerian itu, di sini hari ini.
Mengulas mengenai pelaksanaan sepanjang setahun menerajui kementerian itu, Rina berkata, kementeriannya berjaya menguruskan pengagihan bakul makanan kepada kumpulan sasar yang terkesan akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, hampir 3,300 warga kerja atau 47 peratus daripada keseluruhan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digerakkan bagi mengagihkan satu juta bakul makanan di seluruh negara dan memberi manfaat kepada lebih empat juta orang.
Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai keprihatinan kerajaan hari ini menerusi pelbagai Pakej Rangsangan Ekonomi sama ada di bawah PENJANA, PRIHATIN dan PERMAI dengan kesemua inisiatif mengambil kira kelangsungan hidup kumpulan sasar di bawah kementerian itu.
“Ini termasuk kenaikan bantuan-bantuan kewangan seperti Bantuan Warga Emas, Bantuan OKU, Bantuan Pesakit Kronik Terlantar, Elaun Pekerja OKU, dan Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Khas Ibu Tunggal (BKIT) diberikan kepada wanita-wanita yang terkesan pandemik,” katanya.
Dalam pada itu, Rina berkata, pendekatan merakyatkan perkhidmatan turut diaplikasikan melalui Program Kembara Prihatin Negara (KPN) yang merupakan salah satu inisiatif menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Sehingga 8 Mac lalu, katanya, sebanyak 789 program dilaksanakan oleh JKM di 124 daerah melibatkan pelbagai agensi kerajaan, 145 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 57 entiti sektor korporat dan 1,767 sukarelawan dengan menguruskan 10,605 aduan dan memberikan manfaat kepada 141,159 klien.
Beliau memberitahu, perkhidmatan sokongan psikosial turut diperkasakan dengan menambahbaik Talian Kasih 15999 melalui penyediaan Tele-Kaunseling melibatkan sukarelawan dalam kalangan kaunselor-kaunselor berdaftar di bawah kelolaan Lembaga Kaunselor.
“Sepanjang setahun pentadbiran di kementerian ini saya selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) mengamalkan konsep Corporate Shared Value (CSV) untuk mendapatkan komitmen pelbagai pihak khususnya sektor korporat supaya menyumbang kepada rakyat yang memerlukan.
“Pendekatan ini membuahkan hasil apabila YKN berjaya menguruskan sumbangan berjumlah RM34.1 juta yang diterima daripada 42 entiti merangkumi syarikat korporat dari pelbagai sektor, NGO dan orang awam berbanding RM4.4 juta pada tahun 2019,” katanya. – UTUSAN ONLINE