Ribut: Lebih 100 rumah Zon BBST dan Zon Salak terjejas - Utusan Malaysia

Ribut: Lebih 100 rumah Zon BBST dan Zon Salak terjejas

MOHAMAD Zain (kanan sekali) melihat keadaan pagar futsal yang terjejas selepas dilanda ribut dan hujan di Taman Seroja, Sepang, hari ini. UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Lebih 100 rumah di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) Zon Utara dan Zon Salak mengalami kerosakan selepas dilanda ribut dan hujan lebat yang berlaku pada pukul 4.30 petang semalam.

Kawasan perumahan BBST yang terjejas adalah Taman Seroja dengan 17 buah rumah, Taman Dahlia (19),  Aparment Casa Dahlia (28), Taman Mawar Perdana selain Kampung Salak Tengah (7) dan Kampung Baru Pekan Salak sebanyak 20 buah rumah. 

Sementara itu, turut mengalami kerosakan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja, SK Salak, SK KLIA dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A. Hamid berkata, pihaknya meminta semua penduduk yang rumahnya terjejas segera membuat laporan polis. 

“Dalam pada itu, penduduk boleh mengambil gambar dan membuat anggaran kerosakan sebagai tindakan awal,” katanya ketika ditemui di Balai Raya Taman Seroja di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seroja, Hairul Azman Razali dan Ahli Majlis BBST Utara, Mohd. Syahrul Amri Mat Sari. 

Beliau yang juga Pegawai Daerah Sepang berkata, pihaknya akan segera mendapatkan kesemua maklumat penduduk terjejas menerusi kaunter yang dibuka sebagai tindakan awal sebelum dimajukan kepada kerajaan negeri bagi memohon bantuan wang ihsan bencana Negeri Selangor. 

“Kerosakan lain yang melibatkan sekolah tadika pula, kita akan majukan kepada kementerian berkenaan untuk bantuan kerajaan pusat. 

“Untuk bantuan lain, kita kini dalam proses mendapatkan bantuan daripada Pusat Zakat Negeri Selangor setelah maklumat yang diperoleh petang ini,” katanya.

Selain itu, kata beliau, pihaknya turut meminta bantuan agensi dan jabatan lain  seperti bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta skuad pantas Majlis Perbandaran Sepang bagi kerja-kerja pembersihan. 

“Kerja-kerja pembersihan pokok telah bermula semalam sehingga pagi ini bagi mengelakkan sebarang ancaman bahaya berlaku kepada penduduk,” katanya. 

Menurut beliau, kejadian itu merupakan pertama kali berlaku melibatkan taman perumahan di BBST selepas dilanda ribut akibat hujan lebat petang kelmarin. 

“Meskipun begitu, setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya