Rezeki sauk kerang menjelang Ramadan - Utusan Malaysia

Rezeki sauk kerang menjelang Ramadan

MUSTAFA Mantong menunjukkan kerang yang disauk nelayan di perairan Tampok Laut, Benut, di Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kedatangan musim menyauk kerang di beberapa kawasan di daerah ini dianggap sebagai ‘durian runtuh’ kepada nelayan walaupun tempoh kebenaran yang diberikan hanya sebulan atau dua bulan.

Ini sejajar dengan pengiktirafan Pontian sebagai ‘hab kerang negara’ berdasarkan kepada kuantiti dan kualiti kerang yang boleh dihasilkan di daerah ini cukup memberangsangkan.

Mustafa Mantong, 64, dari Pangkalan Nelayan Tampok Laut berkata, nelayan-nelayan di pangkalan itu telah dua minggu melakukan kerja-kerja menyauk kerang di pesisiran laut sekitar Tampok.

Katanya, seperti tahun-tahun sebelumnya, seramai 25 nelayan terlibat dengan kerja-kerja menyauk kerang berukuran 24 hingga 26 milimeter dengan anggaran pengeluaran kira-kira 10 hingga 15 tan metrik sebulan.

Seramai 40 nelayan pula melakukan kerja-kerja menyauk benih kerang dengan kebenaran oleh Jabatan Perikanan selama dua minggu berbanding sebulan bagi kerja-kerja menyauk kerang biasa.

“Alhamdulillah, dengan adanya kerja-kerja menyauk kerang dapat menambah pendapatan nelayan yang selama ini bergantung kepada hasil tangkapan ikan, udang dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Mustafa, pendapatan tambahan yang diperoleh memberikan kegembiraan kepada nelayan sebagai persiapan menyambut Ramadan dan seterusnya menjelang 1 Syawal nanti.

DAWIK MOHD. ALI

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Ekonomi Nelayan Ayer Baloi, Dawik Mohd. Ali berkata, kerja-kerja menyauk kerang di kawasan yang dibenarkan bermula sejak minggu lalu.

Katanya, kerja-kerja menyauk kerang melibatkan 35 nelayan di kawasan seluas 200 ekar di laut Ayer Baloi yang boleh menghasilkan pengeluaran kerang sebanyak 10 tan metrik dalam tempoh sebulan.

Jelas beliau, setiap kumpulan nelayan antara dua hingga tiga orang mampu menyauk kira-kira 50 kilogram kerang dengan harga ketika ini dianggarkan RM6.50 sekilogram sehingga RM325 sehari.

“Jika dibahagikan setiap daripada mereka akan memperoleh pendapatan RM100 sehari dan kira-kira RM3,000 sebulan atau RM6,000 bagi tempoh dua bulan ini,” jelasnya.

Tambah Dawik, kerang-kerang itu akan dibeli peraih yang datang pada setiap hari sebelum menjual ke beberapa tempat seperti Pasar Borong Selayang, Pasar Borong Pandan, Kulai dan beberapa lokasi utama lain.

Katanya, rezeki yang dinanti selama lapan bulan itu memberikan pendapatan tambahan kepada nelayan untuk menampung perbelanjaan harian mahupun simpanan selain membeli peralatan dan kelengkapan untuk turun ke laut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya