Restoran tawar makanan, minuman harga bajet - Utusan Malaysia

Restoran tawar makanan, minuman harga bajet

SEBAHAGIAN pelanggan berpuas hati dengan teo o ais berharga 50 sen di Zuha Cafe House di Kampung Serdang Muda, Bachok, hari ini. -UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Zuha Cafe House yang terletak di tepi sawah di Kampung Serdang Muda, di sini menjadi tumpuan penduduk setempat apabila menawarkan minuman dan makanan dengan harga ‘bajet’.

Bayangkan, minuman seperti teh o ais, teh o panas dan sirap serta softdrink perisa oren dan sarsi hanya berharga 50 sen segelas manakala harga makanannya pula antara RM2 hingga RM3 sepinggan.

Antara menu yang ditawarkan ialah nasi ayam, nasi jagung, nasi ayam masak merah, laksa pinang, laksa Kelantan, laksam, mi kari dan bihun, kuey tiaw serta mi sup di samping pelbagai menu pencuci mulut.

Pemilik restoran itu, Mohd. Aminul Hafidz Sulaiman, 34, berkata, dia memulakan perniagaan itu bersama isterinya, Norzuliana Zakaria, 37, hujung tahun lalu selepas dia bersara sebagai anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dia berasal dari Segamat, Johor mengambil keputusan pulang ke kampung isteri untuk menjaga ibu mentuanya yang sebelum ini tinggal seorang diri di rumah.

“Syukur… Allah SWT terus melimpahkan rezeki walaupun saya sudah bersara sebagai anggota polis dari IPD Port Dickson selepas berkhidmat selama 15 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Aminul Hafidz menegaskan, walaupun murah, rasa dan kualiti makanan serta minuman tetap dijaga dan setanding restoran lain yang mengenakan harga lebih tinggi.

“Minuman lain seperti ABC (air batu campur) dan cendol dijual dengan harga paling tinggi RM2 tetap lengkap dengan bahan-bahan kandungan utama bagi memastikan rasa enaknya tetap unggul,” katanya.

Dia dalam pada itu mengakui, ramai menjangkakan dia berdepan kerugian jika terus berniaga dengan harga murah sebegitu, lebih-lebih lagi harga bahan mentah kini naik di seluruh negara.

“Dapat juga untungnya tapi dalam kadar yang kecil tapi kalau ramai pelanggan yang bertandang, kami tetap mendapat rezeki tanpa rugi.

“Setiap hari Jumaat, kami turut menyediakan kudapan percuma dengan sajian kuih-muih serta buah-buahan tempatan untuk dinikmati pelanggan kerana kami mengambil konsep mahu berkongsi rezeki,” katanya.

Aminul Hafidz mengakui perniagaannya mula mendapat tempat di hati pelanggan termasuk pelajar sekolah dengan gelaran ‘kedai makan bajet’. 

Zuha Cafe House dibuka mulai pukul 11.30 pagi hingga 10 malam dan tutup pada setiap hari Isnin. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN