Resort di Pulau Redang rugi lebih RM2 juta - Utusan Malaysia

Resort di Pulau Redang rugi lebih RM2 juta

FOO EE LIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Walaupun kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah bermula Jumaat ini, namun, rata-rata pengusaha resort di pulau peranginan di negeri ini masih dihimpit kebimbangan perniagaan mereka akan terus merudum.

Keadaan itu memaksa segelintirnya menangguhkan dahulu hajat untuk menerima pelanggan hingga ke bulan depan bagi mengelak menanggung kerugian lebih besar berikutan kedatangan pengunjung yang suram.

Ini kerana sebahagian besar pelancong ke pulau-pulau peranginan di negeri ini bukan dalam kalangan penduduk tempatan.

Pengurus Redang Pelangi Resort di Pulau Redang, Foo Ee Lin berkata, buat masa ini, mereka mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum memutuskan untuk membuka pintu kepada pengunjung kerana tidak enggan berputih mata buat kali kedua.

Katanya, pandemik Covid-19 menyebabkan jualan tahun lalu merosot lebih RM2 juta berbanding kira-kira RM5 juta yang diperoleh pada 2019.

“Kita menanggung kos tinggi kalau membuka resort pada masa ini sedangkan belum tentu boleh mendapat seorang pelanggan dalam sehari, jadi, kita ambil keputusan untuk tangguh dahulu operasi hingga 1 April.

“Tahun lepas kita rancak mempromosikan resort tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga tidak mampu menampung kerugian besar yang dialami,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan suasana di Pulau Kapas yang sepi tanpa pengunjung menyebabkan sebahagian besar perniagaan resort di situ kini tinggal nyawa-nyawa ikan.

Lokasi yang lazimnya meriah dengan kehadiran 500 hingga 1,000 pelancong dalam satu-satu masa itu, kini menerima kurang daripada 20 orang pengunjung sehari berikutan pelaksanaan PKP dan PKP Bersyarat (PKPB).

Sementara itu, Ee Lin berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membenarkan pergerakan rentas negeri bagi memastikan industri pelancongan negara termasuk di pulau-pulau peranginan yang kini tenat kembali bernafas.

Katanya, langkah itu merupakan jalan terakhir dan terbaik dalam membantu penggiat pelancongan menjana semula pendapatan sekali gus meneruskan kelangsungan operasi.

“Kemasukan pengunjung ke pulau-pulau peranginan tinggi pada tahun lalu, tetapi tiada kes kluster percutian atau pulau dilaporkan kerana rata-rata pihak resort patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ditetapkan.

“Di Redang Pelangi Resort yang dilengkapi 50 bilik, kita juga menyediakan bot laju khas bagi membawa pelancong dan pematuhan SOP termasuk penjarakan sosial dan lain-lain merupakan keutamaan kami,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN