Remaja menangis teresak-esak ditahan positif dadah - Utusan Malaysia

Remaja menangis teresak-esak ditahan positif dadah

ANTARA individu yang ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine dalam Op Tapis di sekitar Kuala Perlis, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Remaja berusia 19 tahun menangis teresak-esak selepas ditahan polis kerana disyaki mengambil dadah jenis methamphetamine dalam Op Tapis di sekitar Kuala Perlis di sini hari ini.

Suspek yang merupakan individu paling muda ditahan dalam operasi tersebut dikatakan sebak dan teringat akan keluarganya selepas kegiatan terlarang itu diketahui oleh pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Chan Ngai Ho berkata, seramai 14 lelaki disyaki penagih dadah turut ditahan dalam operasi selama tiga jam yang bermula pukul 9 pagi itu.

Katanya, suspek yang berumur antara 19 hingga 42 tahun itu ditahan di sekitar kawasan rumah dan jeti ikan di Kampung Tanah Baru, Kampung Tengah dan Kampung Seberang Tok Pi.

“Kebanyakan suspek yang ditahan terdiri daripada nelayan dan mereka dipercayai mengambil dadah untuk menambah tenaga sebelum turun ke laut.

“Seramai 11 individu yang ditahan adalah warga tempatan manakala selebihnya adalah warga Thailand yang masuk dengan permit yang sah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, turut ditemukan semasa serbuan adalah beberapa bungkusan kosong dipercayai methamphetamine yang telah digunakan oleh suspek.

“Selain itu, kami juga menemukan dua buah botol minuman yang diubahsuai menjadi ‘dapur’ untuk mereka menghisap dadah di sebuah jeti ikan.

“Semua suspek dibawa pulang ke Balai Polis Kuala Perlis untuk saringan air kencing dan didapati positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya