BUTTERWORTH: Kira-kira 100 ekor ayam pelbagai jenis rentung dalam kejadian kebakaran di Taman Nilam Tanjung, Simpang Ampat di sini semalam.
Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.33 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja sampai ke lokasi, didapati sebuah reban ayam kelas C sedang terbakar. Kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan tidak lama selepas itu,” jelas jurucakap terbabit.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati, kira-kira 95 peratus daripada reban yang berkeluasan kira-kira 37 meter persegi musnah terbakar.
Menurutnya, punca kejadian dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan.
Operasi itu dijalankan oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kawan. – UTUSAN ONLINE