Rayuan sita aset berkaitan 1MDB tangguh - Utusan Malaysia

Rayuan sita aset berkaitan 1MDB tangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan beberapa entiti termasuk UMNO dan pihak pendakwaan berhubung sitaan aset bernilai kira-kira RM197 juta yang dikatakan hasil penyelewengan dana 1MAlaysia Development Berhad (1MDB) terpaksa dihentikan separuh jalan ekoran terdapat kecemasan yang tidak dapat dielakkan.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim dan bersidang bersama-sama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Abu Bakar Jais tiba-tiba memaklumkan pihak-pihak yang terlibat bahawa prosiding tersebut terpaksa dihentikan.

“Disebabkan terdapat kecemasan yang tidak dapat dielakkan, pendengaran ini terpaksa ditangguhkan,” ujar beliau.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan apakah ‘kecemasan’ yang dimaksudkannya itu.

Pada ketika itu, rayuan daripada pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dan peguam-peguam yang mewakili UMNO Pahang, syarikat barangan kemas, Habib Jewels, syarikat pembekalan tekstil kepada kerajaan, K&Z Enterprise Sdn. Bhd. dan anak syarikat Jakel Trading, Perano Sdn. Bhd. telah didengar oleh panel terbabit.

Rayuan bagi empat lagi entiti kemudiannya ditetapkan untuk pendengaran pada 27 Mei ini.

Pada 13 Disember 2019, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menolak permohonan melucut hak harta oleh pendakwa raya selepas mendapati wang dalam akaun UMNO Kedah bukan hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram manakala pembayaran diterima Habib Jewels dibuat melalui pembelian yang dilakukan dengan niat baik.

Permohonan pihak pendakwa raya untuk menyita harta milik syarikat pembekalan tekstil kepada kerajaan, K&Z Enterprise Sdn. Bhd. iaiatu wang sebanyak RM138,359 pula ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Januari 2020.

Bagaimanapun, pada 9 Jan 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang berjumlah RM2,479,300.18 yang disita daripada UMNO Pahang selepas organisasi itu gagal membuktikan wang tersebut adalah milik mereka.

Pada 7 Februari 2020, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa wang UMNO yang dibekukan oleh kerajaan pada 2018 berjumlah hampir RM193 juta bukan daripada Najib yang dikaitkan dengan 1MDB.

Pada tarikh sama, Hakim Mohamed Zaini turut menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta Wanita MCA, syarikat pembekal khemah Binsabi Sdn. Bhd. dan anak syarikat Jakel Trading, Perano Sdn. Bhd., yang semuanya berjumlah RM1.4 juta.

Pihak pendakwaan turut merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan mereka untuk menyita aset bernilai RM111,590 milik sebuah kedai tekstil, Hattatex Trading. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN