ALOR SETAR: Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) merayu kerajaan membenarkan pergerakan menggunakan kenderaan sendiri untuk melancong di pulau peranginan itu berikutan penguatkuasaan gelombang pelancongan bersasar sejak 10 Mac lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir berkata, kebenaran itu membolehkan orang ramai terutama seisi keluarga melancong ke situ tanpa membebankan mereka.
“Persatuan berpandangan bahawa cara tersebut adalah lebih selamat berbanding menggunakan kenderaan awam terutama mereka yang mempunyai anak-anak kecil dan warga emas.
“Lagipun bagi keluarga besar, mereka terpaksa berfikir banyak kali daripada memberi tiket pengangkutan awam, “ katanya di sini semalam.
Kerajaan sebelum ini melonggarkan syarat pergerakan bagi gelembung pelancongan domestik bersasar mulai 10 Mac lepas khusus untuk pelancong yang berada di negeri bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja manakala negeri yang dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) masih dilarang.
Namun kebenaran hanya diberikan untuk pergerakan menggunakan kenderaan pengangkutan awam sahaja.
Menurut Zainudin, LTA meramalkan kedatangan pelancong ke pulau tersebut bertambah dengan kelonggaran itu terutama menjelang cuti persekolahan hujung bulan ini.
“Kerajaan ingin mengalakkan pelancongan domestik jadi perkara ini perlu dipertimbangkan.
“Sejak kelonggaran melancong ke Langkawi kedatangan yang direkodkan adalah sebanyak dua hingga tiga kali ganda dan kita menjangka ia terus bertambah pada cuti sekolah nanti,” katanya.
Katanya, dianggarkan jumlah pelancong yang menggunakan pengangkutan awam termasuk kapal terbang adalah sehingga 12,000 penumpang sehari pada hujung minggu lepas apabila kemasukan pelancong domestik dibenarkan ke pulau berkenaan. – UTUSAN ONLINE