KANGAR: Dua pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan reman tiga hari selepas dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya melibatkan jumlah suapan bernilai kira-kira RM88,000.
Perintah reman tiga hari sehingga Jumaat itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah.
Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri menahan kedua-dua suspek di pejabatnya antara pukul 5 hingga 5.15 petang semalam, menerusi Op Sukat.
Katanya, suspek yang berusia 35 dan 36 tahun itu ditahan semasa hadir memberi keterangan berkaitan sindiket terbabit yang bergerak aktif dari tahun 2018 hingga 2019.
“Tangkapan tersebut dibuat susulan penahanan seorang lelaki yang berusia 33 tahun pada Isnin yang bertindak sebagai proksi atau orang tengah bagi sindiket terbabit.
“Proksi tersebut direman semalam selama enam hari sehingga Ahad,” kata sumber itu di sini hari ini.
Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 16a (B) dan 17a Akta SPRM 2009.
Jelas sumber itu, kemungkinan akan ada lagi tangkapan yang akan dibuat melibatkan pegawai dan anggota penguatkuasa JPJ di negeri ini dalam masa terdekat.
Pengarah SPRM negeri, Suzeliyana Hashim ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tersebut.
Semalam akhbar ini melaporkan, seramai 44 individu termasuk 32 pegawai JPJ ditahan SPRM selepas dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya termasuk membawa muatan lebih, yang melibatkan jumlah rasuah sebanyak RM1.64 juta.
Mereka dipercayai menerima upah antara RM150 dan RM3,000 sebulan sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan seperti membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal. – UTUSAN ONLINE