Ramai wanita bekerjaya hadapi beban berganda - PM - Utusan Malaysia

Ramai wanita bekerjaya hadapi beban berganda – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri menegaskan, tugas memperkasakan wanita perlu diperkemaskan kerana golongan itu masih terbelenggu dengan pelbagai isu, malah semakin kritikal dan ketara ketika pandemik Covid-19.

Tan Sri Muhyiddin berkata, antara isu itu ialah beban berganda yang dihadapi ramai wanita berkerjaya yang mana mereka perlu mengimbangi antara tuntutan kerja dengan pengurusan rumah tangga pada satu-satu masa. 

Berdasarkan dapatan kajian, kata beliau, didapati wanita meluangkan masa lebih 63.6 peratus berbanding lelaki dalam tugasan penjagaan yang tidak berbayar.

“Selain itu, kurangnya penglibatan semua pihak dalam menyediakan persekitaran yang menyokong dan menggalakkan pemerkasaan wanita. 

“Secara tidak langsung, silent motherhood penalty dilihat seolah-olah menjadi suatu perihal yang diterima oleh semua pihak,” katanya dalam ucapan sempena majlis sambutan Hari Wanita 2021 secara maya hari ini.

Muhyiddin berkata, wanita juga turut dibelenggu dengan isu stigma dan stereotaip yang mengehadkan peranan mereka dalam bidang-bidang tertentu iaitu sering dikaitkan dengan peranan tradisi khususnya dalam penjagaan dan pengasuhan.

Selain itu, kata beliau, golongan itu cenderung menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan gangguan seksual di tempat kerja apatah lagi isu gejala sosial seperti penderaan anak, ‘sugar daddy’ dan sumbang mahram juga merisaukan kerana golongan wanita turut menjadi mangsa.

“Penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam pelbagai bidang yang masih kurang diberi perhatian sepenuhnya turut menjadi isu. 

“Contohnya, saya difahamkan masih ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) yang belum mempunyai wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP). 

“Sehingga Oktober 2020 hanya 25.4 peratus daripada 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia berjaya menyambut komitmen pengisian sekurang-kurangnya 30 peratus ALP wanita,” katanya.

Muhyiddin berkata, tidak dinafikan pandemik Covid-19 juga menyebabkan isu-isu berkenaan semakin kritikal dan ketara.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dengan hanya ketua isi rumah yang dibenarkan membeli barang keperluan, ia boleh dilihat betapa ruang untuk penambahbaikan amalan berkongsi tanggungjawab dalam pengurusan rumah tangga adalah sangat luas. 

Justeru, katanya, aspek itu perlu diberikan penekanan untuk memastikan institusi keluarga lebih bersedia menghadapi cabaran getir dalam kehidupan seharian. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya