Ramai lagi yang akan sertai Bersatu, PN - Ahmad Faizal - Utusan Malaysia

Ramai lagi yang akan sertai Bersatu, PN – Ahmad Faizal

AHMAD Faizal Azumu (dua dari kanan) berbual dengan seorang pelatih Akademi Bola Sepak DRZ pada pada program penyerahan dana kepada akademi itu di Tambun, Ipoh. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lebih ramai pemimpin pembangkang dijangka menyertai serta menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu akan lebih ketara menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

“Ada beberapa lagi yang ingin menyertai Bersatu terutamanya daripada parti pembangkang.

“Semakin hampir pilihan raya nanti, saya rasa kita akan lihat lebih ramai pemimpin parti lain terutamanya pembangkang akan melahirkan hasrat untuk menyertai Bersatu atau parti dalam PN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Penyerahan Dana RM100,000 kepada Akademi Bola Sepak DRZ dekat Tambun di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan dua bekas ADUN DAP Perak iaitu Paul Yong Choo Kiong (Tronoh) dan A. Sivasubramaniam (Buntong) yang menyertai Bersatu baru-baru ini.

Sebelum ini, Sivasubramaniam menyertai Gerakan pada Jun lalu manakala Paul Yong pula menjadi ADUN bebas selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang di Perak, Mac tahun lalu.

Terbaharu semalam Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Xavier Jayakumar yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat umum letak jawatan dan keluar PKR berkuat kuasa serta-merta.

Beliau juga mengumumkan menjadi ahli Parlimen bebas dan menyokong kerajaan PN.

Mengenai pembahagian kerusi dengan parti lain, Ahmad Faizal berkata, UMNO, Pas dan Bersatu masih belum mengadakan perbincangan berhubung perkara itu.

Namun tegas beliau, hubungan antara ketiga-tiga parti tersebut masih kuat dan tidak wujud dakwaan mana-mana parti yang membuli atau dibuli.

“Kerjasama antara parti amat penting seperti mana yang dilakukan oleh PN yang menggabungkan parti-parti dominan seperti Bersatu, UMNO dan Pas serta parti-parti di Sabah dan Sarawak dalam kerajaan pada hari ini.

“Hasil gabungan ini, kerajaan dapat ditadbir dengan baik ketika krisis kesihatan, ekonomi, politik yang berlaku,” katanya.

Ditanya mengenai pandangan tiada parti yang dominan pada PRU-15 untuk membentuk kerajaan tanpa bergabung dengan parti-parti lain, Ahmad Faizal berkata, untuk itu kerjasama dalam PN harus dikukuhkan.

“Seharusnya kita segarkan lagi kerjasama PN ini, bukan kita lemahkan. Tindakan untuk melemahkan ini mungkin dibuat atas keperluan tertentu oleh segelintir kecil pemimpin yang menyebabkan idea-idea penjajaran politik baharu ini perlu diadakan.

“Saya percaya orang ramai menolak perkara itu (penjajaran politik baharu) dan pemimpin yang tidak setuju, mereka patut berani untuk bangkit dan menyatakan perkara yang sebetulnya kepada para pemimpin mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya