Rakyat Perak bertuah miliki sungai terbersih - Utusan Malaysia

Rakyat Perak bertuah miliki sungai terbersih

MOHD. Zolkafly Harun (depan) membersihkan sampah di tebing Sungai Kinta pada program gotong royong Denai Sungai Kebangsaan Sempena Hari Air Sedunia Tahun 2021 di Dataran Sungai Kinta, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Rakyat Perak bertuah kerana memiliki sumber bekalan terbaik apabila empat daripada 10 batang sungai paling bersih di negara ini yang terletak di negeri ini sekali gus menjamin sumber bahan mentah yang mencukupi kepada penduduknya.

Berdasarkan Indeks Kualiti Air (IKA), Paling bersih ialah Sungai Tapah yang mengalir ke lembangan Sungai Perak diikuti Sungai Licin di Beruas, Sungai Manong (Kuala Kangsar) serta Sungai Nyior (Larut Matang).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, sehubungan itu, rakyat negeri ini perlu sama-sama bertanggungjawab menjaga sumber air demi kepentingan kira-kira 2.7 juta penduduk.

Menurut beliau, pencapaian ini turut disumbang oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

“Bagi tahun 2021, kerajaan negeri berharap Sungai Kinta di sini turut tersenarai walau pun perlu menempuh beberapa cabaran kerana kedudukannya di tengah-tengah bandar raya Ipoh.

“Kita juga telah memperuntukkan RM1 juta bagi usaha pemuliharaan Sungai Kinta yang turut melibatkan usaha pihak-pihak seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), JPS, JAS dan pejabat daerah merangkumi elemen pendidikan, penglibatan rakyat dan kualiti air,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad pada program Gotong-royong Denai Sungai Kebangsaan sempena Hari Air Sedunia 2021 di Dataran Sungai Kinta di sini hari ini.

Program yang dihadiri Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin ini turut berjalan serentak di 12 buah daerah melibatkan sungai masing-masing.

Menurut Mohd. Zolkafly, semua agensi berkepentingan, pihak korporat khususnya industri yang terletak di sepanjang Sungai Kinta akan dilibatkan dalam usaha tersebut agar Sungai Kinta bersih dan dapat dijadikan contoh.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga komited untuk mewujudkan denai sungai sepanjang 1,000 kilometer di seluruh Perak menjelang tahun 2023 sebagai tempat riadah dan rekreasi yang dekat pada hati masyarakat.

“Walaupun Perak banyak sumber air tetapi rakyat negeri ini jangan pula berasa selesa sebaliknya usaha-usaha kelestarian dan pemuliharaan masih perlu dilakukan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN