KUALA LUMPUR: Meskipun ditawarkan gaji sehingga RM1,700 di samping menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun ia belum cukup untuk menarik warga tempatan bekerja sebagai pembantu rumah.
Walaupun rakyat Malaysia kini berhadapan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan akibat kesan pandemik Covid-19, namun terdapat dalam kalangan mereka masih memilih kerja termasuk perkhidmatan pembantu rumah.
Bercakap Utusan Malaysia, Pengarah Agensi Pekerjaan Fayyaz Sdn. Bhd., Zubaidah Mubarak Ali menjelaskan, pihaknya berhadapan kesukaran mendapatkan tenaga kerja tempatan sekali gus terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pekerja asing.
Ujarnya lagi, malah terdapat rakyat tempatan hanya berkhidmat sebagai pembantu rumah dalam tempoh sementara iaitu sekitar tiga bulan kerana mahu mendapatkan pendapatan untuk menampung kehidupan buat seketika.
“Bukan kita tidak mahu mengambil warga tempatan tetapi tiada di dalam kalangan mereka yang berminat menjadi pembantu rumah. Kalau ada pun, hanya seorang dalam tempoh sebulan sedangkan kita amat memerlukan lebih ramai pembantu bagi menampung keperluan.
“Walaupun sekarang ramai cakap sukar dapat kerja, malah ada juga dibuang kerja tetapi ada juga rakyat kita memilih kerja sehingga menolak tawaran pembantu rumah,” katanya.
Tambah Zubaidah, beliau selama ini berhempas-pulas untuk menarik lebih ramai rakyat tempatan agar bekerja sebagai pembantu rumah, namun usaha akhirnya menemukan kegagalan.
“Saya cuba mengiklankan jawatan dengan perkataan ‘Pengurus Rumah Tangga’ untuk menarik minat tetapi selepas temuduga, kebanyakan mereka tolak selepas dijelaskan tugas sebenar adalah sama seperti pembantu rumah. Namun terpaksalah kami mendapatkan tenaga kerja asing,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata, status pekerjaan dan gaji tidak lumayan merupakan antara faktor rakyat tempatan tidak berminat untuk berkhidmat sebagai pembantu rumah.
Malah katanya, mereka lebih berminat bekerja di kilang-kilang yang menawarkan gaji lebih tinggi di samping persekitaran kerja yang lebih sesuai.
Katanya, keadaan itu telah menyebabkan majikan kini timbul kesukaran mendapatkan pembantu rumah sehingga terpaksa bergantung kepada tenaga kerja asing.
“Jika ini berterusan sampai bila kita kena bergantung kepada pembantu rumah asing sehingga terpaksa menanggung kos tinggi untuk membawa mereka masuk.
“Apatah lagi pintu sempadan kini ditutup kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan tidak boleh membawa masuk tenaga asing termasuk pembantu rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Engku Ahmad Fauzi menyeru pelbagai pihak untuk mencadangkan satu formula khas bagi menarik minat rakyat tempatan berkhidmat sebagai pembantu rumah.
Katanya, ia termasuklah mewujudkan satu program latihan khas di dalam memberi latihan kemahiran kepada warga tempatan.
“Kita perlu jadikan pekerjaan ini lebih menarik untuk menarik minat lebih ramai rakyat negara ini apatah lagi ada dalam kalangan mereka terdesak bagi mendapat pekerjaan.
“Lagi satu kita boleh guna formula seperti aplikasi e-hailing dengan jika mana-mana majikan perlu pembantu rumah, mereka gunakan aplikasi ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE