Raja Muda Perlis pandang serius isu harumanis tiruan - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis pandang serius isu harumanis tiruan

TUANKU Syed Faizuddin (kanan) pada program hijrah minda MAIPs bilangan ke-10 tahun 2021 di Masjid Terapung Al-Hussain Kuala Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memandang serius isu penjualan harumanis tiruan yang bakal menjejaskan pendapatan serta hasil para pengusaha buah berkenaan di negeri ini. 

Titah baginda yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), kesannya juga bakal mengakibatkan penurunan kutipan zakat tanaman yang telah difatwakan wajib terhadap hasil biji-bijian dan buah-buah daripada hasil pertanian.

Justeru, baginda mengingatkan, agar tiada lagi penggemar harumanis Perlis tersalah beli atau tertipu semasa membeli buah tersebut.

“Beza mempelam harumanis Perlis dengan mangga tiruan tersebut adalah seperti harumanis Perlis mempunyai lekuk pada tangkainya berbeza dengan buah mangga lain yang tidak mempunyai lekuk pada pangkal tangkai dan di bahagian luar tangkai dan pelbagai lagi perbezaan lain.

“Mangga Thailand dan Kemboja antara yang sering menggunakan nama harumanis bagi melariskan jualan mempelam tersebut.

“Difahamkan penggunaan harumanis pada mangga lain merupakan taktik peniaga untuk menarik pembeli di mana mereka akan menyangka ia adalah harumanis Perlis,” titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri program hijrah minda MAIPs bilangan ke-10 tahun 2021 di Masjid Terapung Al-Hussain Kuala Perlis di sini hari ini.

Pada program tersebut, baginda menyampaikan agihan zakat kepada 25 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Seterusnya baginda berharap agar situasi tersebut diberikan perhatian oleh pihak bertanggungjawab khususnya pada musim harumanis dijangka pada April hingga Jun.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menasihatkan orang ramai supaya mengetahui ciri-ciri sebenar mempelam harumanis Perlis dengan merujuk Jabatan Pertanian negeri atau melayari laman sosial rasmi jabatan tersebut bagi mengelak ditipu.

“Penjualan yang menggunakan nama harumanis Perlis bagi melariskan jualan juga akan dipantau oleh pasukan khas diketuai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta dibantu beberapa agensi lain,” titah baginda. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN