Pusat pengajian al-Quran untuk OKU - Utusan Malaysia

Pusat pengajian al-Quran untuk OKU

SURIYATI Maamor (kanan) melihat anak-anak OKU yang mengikuti pengajian al-Quran di Pusat Quranis As-Sakinah di Taman Desa Permai, Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Kesukaran untuk mencari sebuah pusat pengajian agama untuk disertai oleh anak bongsunya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mendorong sebuah keluarga membuka sebuah pusat pengajian al-Quran.

Seorang peguam, Suriyati Maamor, 44, berkata, dia dan keluarga membuka Pusat Quranis As-Sakinah sejak dua tahun lalu disebabkan sukar mencari tempat mengaji dan agama untuk anaknya, Nur Idznie Haris, 5, yang mengalami masalah kelewatan pembangunan global (GDD), sawan dan autisme sejak lahir.

“Kami melihat tiada pusat mengaji al-Quran khas untuk anak-anak OKU di luar bandar, jadi pusat ini dibuka sejak 2019 bagi memberi peluang kepada anak-anak ini belajar tentang agama.

“Saya juga turut memberi peluang kepada anak-anak OKU asnaf untuk belajar di sini melalui tajaan dana yang kami terima. Oleh itu, saya membuka peluang sekiranya ada penderma yang mahu menaja anak-anak OKU untuk belajar di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Desa Permai, Juasseh dekat sini, semalam.

Menurut Suriyati, seramai 16 orang pelajar OKU terdiri daripada yang menghidap autisme dan sindrom down, masalah percakapan dan pembelajaran termasuk enam pelajar OKU asnaf mengikuti kelas pengajian di pusat tersebut.

“Sebelum ini ada pelajar yang datang tidak tahu mengaji atau ada yang sering marah dan menangis namun kini mereka sudah mampu membaca, walaupun ada yang tidak mampu bertutur namun mereka memahami apa yang diajar. Ada ibu bapa yang tinggal di Seremban sanggup menghantar anak mereka ke sini.

“Di pusat ini, terdapat empat modul daripada Yayasan Fakeh yang perlu diikuti iaitu modul hafazan, modul terapi, modul tilawah, modul terapi alami bagi membolehkan anak-anak ini mendalami bidang agama Islam,” katanya yang mengenakan bayaran yuran sebanyak RM180 sebulan,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, sebanyak RM10,000 diperlukan pihaknya bagi menampung kos operasi pusat tersebut termasuk pembayaran gaji lapan orang kakitangannya.

“Bagi mereka yang mahu membantu atau menaja anak OKU asnaf di pusat ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun CIMB, 8603808195 di atas nama Pertubuhan Keluarga Anak Istimewa As-Sakinah, atau menghubungi 017-9931494 serta melayari akaun Facebook dan Instagram, Pusat Quranis As Sakinah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN