PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 58 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan 54 kes daripadanya dikenakan kompaun manakala empat lagi direman.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti di pusat hiburan masih merekodkan kesalahan dengan 39 individu ditahan, selain 11 kes gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri, tidak memakai pelitup muka (empat kes) serta rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (tiga kes).
Kata beliau, sebanyak 3,702 Pasukan Task Force Operasi Pematuhan PDRM terdiri daripada 15,628 anggota melakukan 66,603 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP di seluruh negara.
“Semalam, Op Benteng pula berjaya menahan 17 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas dua kenderaan darat dan sebuah bot atau kapal dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.
“Dalam operasi itu juga, 42 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai 738 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara semalam dan kesemuanya dikuarantin wajib.
Katanya, secara kumulatif, sejak 24 Julai tahun lalu, seramai 147,578 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
“Daripada jumlah itu, seramai 6,917 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 76 hotel dan 12 premis lain, manakala seramai 1,068 individu pula dibawa ke hospital untuk rawatan selain 139,593 individu dibenarkan pulang,” katanya.
Ismail Sabri berkata, anggota Penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga membuat 35 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara dan mendapati kesemua 35 tapak binaan beroperasi dan mematuhi SOP.
Secara keseluruhannya, katanya, CIDB sudah melakukan 16,228 pemeriksaan melibatkan 9,188 tapak binaan sejak 20 April tahun lalu.
Berhubung saringan wajib pekerja asing pula, seramai 3,820 warga asing menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 106 didapati positif.
“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 630,830 pekerja warga asing menjalani ujian saringan melibatkan 32,611 majikan.
“Daripada jumlah ini, seramai 9,913 disahkan positif manakala 620,917 lagi adalah negatif. Sehingga kini juga, sebanyak 1,533 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE