Punca kejadian struktur kren jatuh sedang disiasat - Utusan Malaysia

Punca kejadian struktur kren jatuh sedang disiasat

AWANG HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Siasatan komprehensif untuk mengenal pasti punca kejadian struktur kren jatuh di ibu negara pagi tadi dilakukan oleh sepasukan penyiasat Kementerian Sumber Manusia

Timbalan menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, ia melibatkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sendiri.

“Mereka turut menentukan sama ada terdapat pelanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.

Beliau merujuk insiden komponen kren tumbang menghempap sebuah kenderaan di projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Alam Damai, Cheras.

Pemandu warga tempatan parah apabila besi kren itu menghempap keretanya manakala tiga daripada empat mangsa pekerja projek tersebut disahkan meninggal dunia.

Pihak JKKP berkenaan, ujar beliau, juga telah mengeluarkan arahan secara serta-merta untuk menghentikan sebarang aktiviti kerja di kawasan tersebut bagi tujuan siasatan lebih terperinci.

“Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, majikan wajib memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja semasa bekerja di tempat kerja,” kata Awang.

Kewajipan itu, ujarnya, meliputi orang awam yang berada di lokasi berkenaan kerana setiap majikan ada kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di situ termasuk membuat analisis risiko.

Jelas beliau, mereka perlu mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja bagi mengelakkan kemalangan ke atas pekerja dan orang awam.

Malah, ujarnya, Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 mengkehendaki pihak terlibat memainkan peranan seawal peringkat reka bentuk projek.

“Ini termasuklah klien, pereka bentuk dan kontraktor yang perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing di tempat kerja itu bermula daripada proses reka bentuk pembinaan,” katanya.

Justeru, Awang berkata, kementerian memandang serius setiap kemalangan dan penyakit berpunca aktiviti pekerjaan selain yang ada melibatkan orang awam di sektor pembinaan.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan memberi jaminan, pihaknya sentiasa komited meningkatkan tahap dua bidang itu di negara ini.

Pada masa sama, kementerian tersebut katanya, menzahirkan perasaan dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kes kemalangan di tapak projek Pakej CA3 itu.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN