PUTRAJAYA: Lebih 2,000 penduduk di Pulau Tioman, Daerah Rompin, Pahang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan pihak Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di situ.
“Sehingga semalam, sebanyak 48 ujian saringan dilakukan dan daripada jumlah itu, 16 kes positif baharu Covid-19 telah direkodkan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Justeru ujarnya, setelah penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal dan atas nasihat kementerian itu, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD sehingga 29 Mac.
Ia jelas beliau, untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melakukan saringan secara bersasar terhadap para penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan dalam komuniti.
Langkah tersebut ekoran kemunculan Kluster Kampung Air Batang di sebuah pusat penginapan di pulau peranginan popular terindah di dunia itu yang sudah merekodkan 15 kes.
Perkampungan Melayu berkenaan yang juga dikenali sebagai Pantai ABC, amat digemari dalam kalangan pelancong tempatan dan asing dengan kehijauan alam dan keindahan laut.
Pulau itu hanya seluas 136 kilometer persegi, terletak di Laut China Selatan dekat Mersing, Johor, sering menjadi pilihan pelancong dari benua Eropah kerana keunikan muka buminya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Daerah Nabawan, Sabah dilanjutkan lagi selama dua minggu bermula 17 Mac ini.
“Kementerian Kesihatan mengesahkan masih terdapat baki sebanyak 872 sampel daripada 3,079 ujian saringan yang belum mendapat keputusan daripada pihak makmal,” kata beliau.
Setakat hari ini ujarnya, secara kumulatif sejumlah 279 kes positif Covid-19 sudah direkodkan dan PKP di daerah tersebut telah bermula sejak 3 Mac lalu dan sepatutnya berakhir esok.
Nabawan terletak dalam bahagian Pedalaman dengan keluasan hampir menyamai Negeri Sembilan dan jumlah penduduk dianggarkan lebih 31,000 orang, yang majoritinya etnik Murut.
Sebelum itu, dua perkampungan di Nabawan iaitu Sinsingon dan Lotong yang bersempadan Wilayah Kalimantan Utara, Indonesia dikenakan PKPD sejak 27 Februari sehingga 26 Mac. – UTUSAN ONLINE