GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membenarkan sesi Parlimen bersidang semula supaya fungsi semak dan imbang dapat dijalankan oleh ahli-ahli Parlimen.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain itu Perdana Menteri juga perlu membenarkan sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung dalam tempoh terdekat bagi membolehkan isu dan masalah rakyat dapat dipantau serta diselesaikan segera.
“Kami ingin menyeru supaya Perdana Menteri memanggil sidang Parlimen untuk membolehkan wakil rakyat memainkan peranan masing-masing sebagai semak dan imbang.
“Ini juga membolehkan agensi kerajaan bersikap proaktif dan peka kepada isu rakyat dan badan eksekutif dapat dipantau dengan rapi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi libat urus antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Sesi libat urus berkenaan berlangsung selama dua hari yang mana setiap Exco akan mengemas kini perkembangan dan pelaksanaan dasar serta projek di bawah portfolio masing-masing.
Sesi berkenaan diadakan berikutan penggantungan Dewan Udangan Negeri (DUN) yang sepatutnya berlangsung April ini susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diumumkan Kerajaan Pusat.
Menurut Kon Yeow, gesaan supaya sesi Parlimen itu diadakan telah disuarakan banyak pihak termasuk pemimpin Pakatan Harapan (PH) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan Pulau Pinang secara rasmi menyatakan gesaan tersebut.
“Sidang Parlimen boleh diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan sesi libat urus yang kita adakan boleh dijadikan contoh bagaimana persidangan boleh diadakan dengan SOP ketat.
“Sekarang ini kita nampak pasar malam semua boleh dibuka dengan pematuhan SOP, cuma Parlimen sahaja ditutup,” katanya.
Dalam perkembangan lain Kon Yeow membidas tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memboikot sesi libat urus itu.
“Alasan boikot yang diberikan mereka adalah kerana peruntukan mereka ditarik balik oleh kerajaan negeri, namun sebenarnya peruntukan tersebut tidak dikurangkan satu sen pun dan disalurkan kepada rakyat melalui ADUN angkat,” katanya.