Pulau Pinang akan minta kebenaran MKN adakan sidang DUN sebenar - Utusan Malaysia

Pulau Pinang akan minta kebenaran MKN adakan sidang DUN sebenar

CHOW KON YEOW ketika menyampaikan ucapan penutup pada sesi libat urus antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bersama ADUN negeri di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menghantar surat rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memohon kebenaran bagi membolehkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan dalam tempoh darurat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu berasaskan Seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat yang memperuntukkan sidang DUN boleh dipanggil walaupun Parlimen tidak bersidang melalui syor yang dikemukakan oleh Yang Dipertua Negeri kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jelas beliau, melalui proses rundingan Yang Dipertua Negeri dan Yang di-Pertuan Agong yang mana syor itu tidak mengikat baginda, maka Yang di-Pertuan Agong boleh membuat apa-apa pertimbangan sewajarnya di bawah Seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat tersebut.

Jelas beliau, oleh kerana kuasa-kuasa itu akan diguna pakai menurut Ordinan Darurat yang berhubung dengan penularan wabak Covid-19, maka, cadangan penetapan tarikh memanggil sidang DUN itu sewajarnya dikemukakan kepada MKN terlebih dahulu untuk tindakan selanjutnya.

“Namun, jika ahli-ahli berhormat (ADUN) berpandangan sesi libat urus ini lebih sesuai diadakan, kerajaan negeri terbuka kepada cadangan untuk mengadakannya sekali lagi sekiranya DUN sebenar tidak dapat bersidang dalam tempoh beberapa bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup pada sesi libat urus antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bersama ADUN negeri di sini hari ini.

Sesi libat urus selama dua hari sejak semalam itu diadakan bagi menggantikan sidang DUN yang tidak dapat dilaksanakan ekoran perintah darurat bagi mengekang wabak Covid-19.

Terdahulu, ADUN Air Putih, Lim Guan Eng memuji langkah kerajaan negeri mengadakan sesi libat urus bagi menggantikan sidang DUN itu yang turut mendapat perhatian kerajaan negeri lain.

Malah, Setiausaha Agung DAP berkenaan turut mencadangkan sesi berkenaan diadakan lebih kerap selepas ini sekiranya sidang DUN sebenar masih tidak dapat dijalankan sehingga perintah darurat berakhir.

“Ini juga supaya kita dapat tunjuk kepada Putrajaya (kerajaan Pusat) yang mana sidang Parlimen dan DUN sebenarnya masih boleh diadakan seperti mana yang dititahkan dan kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya