SHAH ALAM: Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan (PSKK) dengan kerjasama Pusat Sukan UiTM menganjurkan kejohanan kali pertama Karnival Sukan Staf (KARiSTA) ESports Edition 2021 pada 2 hingga 4 April ini.
Timbalan Presiden PSKK, Mustaza Ahmad berkata, kejohanan tersebut julung kali diadakan secara dalam talian menarik minat penyertaan 12 kampus UiTM di seluruh negara.
“Sebanyak enam acara dipertandingkan iaitu Mobile Legend (ML), MOTOGP, Call Of Duty (COD), FIFA 2021, PES 2021 dan PUBG. UiTM Sarawak adalah kontingen yang paling besar dalam kejohanan ini apabila menyertai semua jenis acara dipertandingkan.
“Pendekatan dan penglibatan khususnya dalam kalangan warga UiTM secara tidak langsung dapat memperkasakan sukan esports bukan sahaja dalam kalangan pelajar, malah kalangan warga kerja UiTM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mustaza yang juga Pengarah Pusat Sukan berkata, pihaknya sebelum ini mengadakan beberapa kejohanan esports bermula dari Sukan Antara Fakulti pada tahun lalu disusuli dengan Karnival Sukan Mahasiswa (KARiSMA) UiTM dan yang terkini Kejohanan UiTM International Sports Fiesta (UiSF) pada awal Mac lalu.
Katanya, walaupun pandemik Covid-19 belum reda, inisiatif kejohanan dari PSKK ini diharap dapat memberi satu pilihan kepada warga UiTM dalam sentiasa bergerak aktif untuk membantu meningkatkan produktiviti kerja.
“Ironinya dengan penganjuran seperti ini dapat menggalakkan penglibatan warga kampus dalam aktiviti sukan bukan sahaja secara fizikal tetapi secara maya.
“Untuk rekod, semua perlawanan akan dilangsungkan menerusi saluran YouTube, UiTM Sports Channel,” katanya. – UTUSAN ONLINE