PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan proses memanggil ahli politik atau individu dilakukan secara adil selepas laporan polis diterima.
Justeru, tiada istilah polis ingin bertindak kejam jika sesiapa dipanggil untuk dirakam percakapan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid berkata, polis bertindak atas laporan polis diterima dan kertas siasatan yang dibuka.
“Mereka bersalah atau tidak biarlah ditentukan nanti, namun sebelum itu orang yang didakwa pemula akan dipanggil polis bagi merakam percakapan.
“Sekiranya mereka sudah memberi keterangan dan kertas siasatan dilengkapkan akan dibawa ke Pejabat Peguam Negara yang akan dinilai sama ada didakwa atau tidak. Bukan saya arahkan panggil pemimpin itu datang ke Bukit Aman, tetapi mesti ada punca kuasa iaitu laporan polis yang dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Bersama KPN dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar disiarkan secara langsung di YouTube dan Facebook sebuah akhbar, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, bekas senator Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor dipanggil memberi keterangan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ekoran ada laporan dibuat berikutan kenyataannya bersifat ugutan.
Ujarnya, apabila kertas siasatan dibuka beliau diminta hadir untuk dirakam percakapan.
“Bagaimanapun menjadi isu apabila ada pihak cuba menggambarkan dalam proses itu polis bertindak kejam dan seolah-olah membuli dan menyalah guna kuasa memanggil orang ke Bukit Aman.
“Ada mendakwa polis akan menggertak, menggugut dan menyeksa sedangkan hakikatnya tidak begitu,” katanya.
Tambah beliau, pegawai penyiasat yang ada sekarang ini cukup profesional, jadi mereka yang dipanggil untuk merakam kenyataan silalah jawab soalan itu dan boleh membawa peguam.
Mohamad Ezam sebelum ini dipanggil ke Bukit Aman berikutan kenyataan dibuatnya terhadap Ketua Polis Negara berhubung kes tangkap Jho Low dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kes video semburit. – UTUSAN ONLINE