KUALA LUMPUR: Tiada semakan kehakiman boleh difailkan bagi mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat.
Selain itu, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid ketika membaca penghakimannya menyatakan Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan yang didakwa tidak berperlembagaan juga tidak boleh diterima.
Perkara 150(8) antara lain menyatakan tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan atau prosiding atas apa-apa berkaitan deklarasi darurat.
“Isu utama di mahkamah hari ini adalakah sama ada proklamasi dan penguatkuasaan darurat itu boleh dipinda melalui semakan kehakiman. Isu ini perlu diputusan selaras dengan peruntukan Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan.
“Berhubung Perkara 150(8) yang didakwa tidak berperlembagaan kerana menyingkirkan kuasa mahkamah, saya berpendapat sebaliknya. Ia hanya boleh dikira tidak berpelembagaan sekiranya ia tidak konsisten dengan lain-lain peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,”katanya.
Oleh itu, Hakim itu memutuskan bahawa Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan adalah berpelembagaan. Sehubungan itu, tiada semakan kehakiman boleh difailkan bagi mencabar keputusan YDPA.
Beliau kemudian menolak permohonan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah), Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (DAP) untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar pengisytiharan itu.
Ketika menolak permohonan tersebut, Hakim Ahmad Kamal turut menyatakan permohonan yang difailkan ketiga-tiga pemohon tersebut adalah remeh dan tidak mempunyai sebarang kes atau fakta yang boleh dipertikaikan di mahkamah.
Selain itu, mahkamah menyatakan, relif yang dipohon oleh dibuat atas tanggapan yang salah terhadap undang-undang.
“Tiada mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang boleh mendesak Perdana Menteri untuk bertindak sebagaimana yang dipohon oleh pemohon,”ujarnya.
Berdasarkan alasan yang dinyatakan, Mahkamah berpendapat isu utama semakan kehakiman itu tidak boleh dipinda atau diubah melalui semakan kehakiman.
Tambahnya, peruntukkan di bawah 150(8) Perlembagaan Persekutuan telah menutup semua pintu mahkamah daripada menerima sebarang cabaran atau permohonan yang dibuat berkaitan pengisytiharan darurat itu atau sebarang undang-undang dan ordinan yang digubal mengikut undang-undang darurat.
“Secara keseluruhan, pemohon telah gagal untuk melepasi halangan dalam membolehkan semakan kehakiman dibuat. Tiada sebarang kes yang boleh diputuskan melalui permohonan tersebut. Oleh itu, permohonan ini adalah remeh,”katanya.
Pada 26 Januari lalu, ketiga-tiganya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan Perdana Menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.
Mereka memfailkan permohonan untuk mencabar nasihat yang diberikan oleh Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Mereka memfailkan permohonan itu bagi membolehkan Klausa 11, 14 dan 15 Ordinan Darurat yang dikatakan tidak berperlembagaan disemak oleh mahkamah.
Permohonan ini juga bagi membolehkan kuasa-kuasa oleh Perdana Menteri dan Kabinet serta Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco yang dikatakan tidak dapat dipertanggungjawabkan kepada Parlimen atau DUN disemak.
Pada 12 Januari lalu, Agong memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika jumlah kes Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. -UTUSAN ONLINE