PUTRAJAYA: Pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah bersandarkan kepada kepentingan ekonomi dan isu teknikal, bukannya bersandarkan kepada kepentingan politik.
Menteri Pengangkutan,Datuk Seri Dr, Wee Ka Siong berkata, malah idea Jajaran Selatan ECRL melalui Negeri Sembilan sebelum ini diumumkan Menteri Kewangan pada ketika itu, Lim Guan Eng ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada April 2019.
Katanya, pihak kementerian telah menyatakan bahawa keputusan untuk kembali ke jajaran asal yang dinamakan jajaran ECRL 3.0 adalah dibuat untuk memaksimumkan kelebihan dari segi ekonomi dan teknikal bagi keseluruhan projek dan kesan limpahannya.
“Berdasarkan jajaran asal projek ECRL pada tahun 2017, jajaran baharu ECRL 3.0 membolehkan laluan pintasan dari Serendah ke Pelabuhan Klang untuk servis KTMB diintegrasikan ke dalam keseluruhan projek.
“Keputusan tersebut menjadikan perkhidmatan kereta api KTMB lebih cekap kerana ia dapat menyelesaikan masalah laluan kargo ke KTMB yang ketika ini mempunyai isu kesesakan apabila melalui daerah pusat perniagaan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi memberi maklum balas sebuah penulisan bertajuk ‘Using ECRL to swing voter support for MCA, MIC?’ yang diterbitkan sebuah portal berita semalam di mana andaian penulis adalah berdasarkan petikan anekdot oleh penganalisa politik yang tidak dinamakan di sepanjang penulisan tersebut.
Ka Siong berkata, penulisan tersebut sebahagian besarnya menyatakan bahawa jajaran utara yang merupakan cadangan jajaran asal, adalah satu pilihan yang tidak tepat dan bermotifkan politik.
Katanya, keputusan jajaran ECRL 3.0 juga mampu meningkatkan taraf keselamatan orang awam kerana kereta api kargo KTMB yang sekarang ini melalui stesen KL Sentral dan Bank Negara sering membawa bahan-bahan berbahaya.
“Malah, jajaran baharu ECRL 3.0 bertujuan untuk melengkapkan penubuhan hub kargo nasional di Serendah dan meningkatkan kecekapan perjalanan kargo bagi KTMB dan ECRL. Ini adalah penting kerana 70 peratus hasil ECRL adalah dari pengangkutan kargo.
“Hub kargo nasional ini adalah untuk membentuk sebuah ketersambungan rel dari Serendah ke koridor ekonomi dan pelabuhan di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Pelabuhan Pulau Pinang, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Pelabuhan Kuantan serta Iskandar Malaysia dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di selatan,” katanya.
Jelasnya, penyambungan melalui jajaran asal ke Pelabuhan Klang dengan West Port dan North Ports menawarkan laluan yang lebih baik untuk perdagangan antarabangsa dan menjadikan laluan yang lebih menarik untuk industri perniagaan berorientasikan eksport.
Katanya, sambungan hingga ke laluan terakhir Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang di bawah ECRL 3.0 ini menjadikan kedua-dua lembah pantai lebih dekat dengan adanya ‘landbridg’yang memudahkan pemindahan barang.
“Jajaran ini juga dijangka akan meningkatkan pembangunan dan perbandaran baru serta memacu aktiviti kormersial di sekitar kawasan baru seperti Puncak Alam dan Kapar di mana kedua-kedua kawasan tersebut telah direka sebagai stesen masa hadapan ECRL.
“Stesen ECRL di ITT Gombak sememangnya memudahkan pengguna di Lembah Klang menuju ke negeri-negeri di Pantai Timur. Gombak juga dikenali sebagai jalan masuk ke atau dari Kuala Lumpur. ITT Gombak juga memberi laluan sambungan ke Laluan Kelana Jaya bagi LRT serta stesen KTMB Temerloh, Serendah dan Jalan Kastam. Jajaran Utara dijangka menarik sebanyak 26 juta tan kargo dan seramai lima juta penumpang pada tahun pertama beroperasi,” katanya.
Tambahnya, Jajaran Selatan pula diramal menarik sejumlah sembilan juta tan kargo dan seramai empat juta penumpang pada tahun pertama beroperasi manakala Jajaran Utara diunjurkan memberi lebih ramai penumpang dan muatan kargo untuk ECRL apabila beoperasi semasa tahun pertama.
“Sesetengah orang mungkin berpendapat bahawa Jajaran Selatan mungkin lebih murah sekiranya diteruskan. Namun, jajaran tersebut hanya akan menghalang keseluruhan projek menghasilkan integrasi dan hab sebenar bagi wilayah-wilayah ekonomi di Semenanjung Malaysia dan menjadi pemangkin pertumbuhan yang kukuh dan pelaburan baharu dalam sektor pembuatan, pembinaan, serta pembangunan dan harta tanah.
“Selain itu, Pintasan Serendah tetap diteruskan walaupun Jajaran Selatan dibina, oleh kerana laluan pintas tersebut dapat menyelesaikan dengan segera isu bottleneck dan kesesakan perkhidmatan rel KTMB di sekitar Kuala Lumpur.
“Analisa terkumpul mengenai pembinaan Jajaran Selatan ECRL dan Pintasan Serendah secara berasingan menunjukkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar dan sosial yang lebih mendalam. Ini disebabkan pembinaan trek keretapi yang lebih panjang yang melibatkan dua kawasan yang berasingan,” katanya.
Ka Siong berkata, sebanyak 95 peratus kawasan tadahan air di Selangor akan terjejas sekiranya Jajaran Selatan dan Lintasan Serendah dibina secara berasingan, berbanding dengan 65 peratus di bawah Jajaran Utara. Pembinaan Jajaran Utara juga akan menyelesaikan keperluan untuk laluan pintas di Serendah untuk KTMB.-UTUSAN ONLINE