Program vaksin asas kukuh buka sempadan Malaysia-Singapura - Utusan Malaysia

Program vaksin asas kukuh buka sempadan Malaysia-Singapura

CHE Zakaria Mohd. Salleh (dua kiri) menyerahkan sumbangan kepada penerima sempena Program Bantuan Ramadan kepada 103 pemandu teksi, pemandu bas sekolah dan keluarga B40 di pekarangan SK Taman Rinting 3, Pasir Gudang, Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Program vaksinasi serta tambahan vaksin untuk 100,000 pekerja Malaysia di Singapura perlu dijadikan asas perbincangan kukuh untuk Malaysia dan Singapura membuka sepenuhnya sempadan kedua-dua negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, langkah itu berasas kerana Malaysia sudah memulakan program vaksinasi apatah lagi vaksin yang diguna juga sama seperti Singapura iaitu Pfizer-BioNTech.

“Kerajaan juga wajar memohon dengan Singapura untuk menarik balik langkah penggantungan peraturan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang dilakukan republik itu pada 1 Februari lalu.

“Tidak perlu tunggu sehingga tempoh penggantungan itu habis, begitu juga Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang dihadkan daripada 2,000 orang sehari yang dibenarkan berulang alik sebelum ini kepada 400 orang sahaja ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan sempena bulan Ramadan kepada 103 pemandu teksi, pemandu bas sekolah dan keluarga B40 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 3, di sini hari ini.

Singapura sebelum ini menggantung peraturan RGL dengan Malaysia, Jerman dan Korea Selatan selama tiga bulan mulai 1 Februari lalu bagi menangani risiko kes import Covid-19 dan penularan jangkitan kepada komuniti tempatan.

RGL membenarkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan urusan rasmi antara kedua-dua negara, manakala PCA pula membolehkan penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah satu negara, memasuki negara itu.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Che Zakaria meminta Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd. (Puspakom) tidak melakukan pemeriksaan dua kali setahun untuk bas sekolah di seluruh negeri kerana perkara itu membebankan pengusaha bas sekolah.

Katanya, peraturan itu wajar ditangguhkan sehingga keadaan kembali pulih kerana pengusaha bas baharu sahaja kembali beroperasi selepas sesi persekolahan tahun baharu dibuka awal bulan ini.

Seorang pengusaha dan pemandu bas, Mohamad Sari Othman, 62, memberitahu, kerajaan perlu mengurangkan tekanan kepada mereka kerana mereka baharu kembali ‘bernafas’ selepas ada yang gulung tikar sebelum ini.

“Sebelum ini pemeriksaan Puspakom tetap perlu dilakukan pengusaha walaupun sekolah cuti. Jadi kita harap pemeriksaan rutin itu ditangguhkan, bayangkan setiap kali pemeriksaan kita perlu bayar, itu belum dikira mereka kenakan saman. Jadi sukar untuk kita hendak beroperasi dan tambahan pula ada yang masih berhutang beli bas sekolah,” katanya.

Setiausaha Persatuan Pemilik dan Pemandu Bas Sekolah Johor Bahru, Lois Mahnedi Basir pula berkata, jumlah keluarga yang menggunakan perkhidmatan itu masih rendah kerana mereka tidak yakin dengan keselamatan anak-anak.

“Kita terpaksa melakukan proses sanitasi sendiri selain ada pengusaha bas yang mengupah syarikat melakukannya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya