Program pendigitalan pendidikan akan disegerakan - Utusan Malaysia

Program pendigitalan pendidikan akan disegerakan

MUHYIDDIN Yassin (kanan) menerima replika cek bernilai RM240,000 daripada Pengerusi Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin sempena Program Jom Ke Sekolah Parlimen Pagoh dan Dun Gambir di Dewan Kompleks Sukan Pagoh, Muar, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pendidikan menyegerakan pelaksanaan program pendigitalan pendidikan dalam memartabatkan sistem pendidikan negara bagi mendepani cabaran pandemik Covid-19.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penularan pandemik Covid-19 mengubah lanskap sistem pendidikan negara sehingga memerlukan perubahan demi memastikan murid dan pelajar tidak ketinggalan.

Menurut beliau, sebagai langkah pertama, kerajaan perlu menyediakan alat-alat peranti dalam satu tempoh seberapa segera.

“Ketika pandemik Covid-19 melanda negara, antara yang terkesan adalah sistem pendidikan, sebahagian pelajar kita tidak dapat ke sekolah dan perlu belajar di rumah.

“Mereka terpaksa duduk di rumah dalam tempoh yang lama dan belajar secara online. Jadi satu pengajaran yang dapat diambil adalah kerana kita tidak mempunyai suatu keupayaan untuk menyediakan satu sistem pendidikan yang boleh menampung keperluan kita sewaktu begini.

“Kerana kita tidak mempunyai kemudahan-kemudahan yang membolehkan pelajar kita belajar secara maya, online dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jom Ke Sekolah Parlimen Pagoh dan Dun Gambir bersama Program CSR Pendidikan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, YPM menyerahkan RM240,000 kepada Perdana Menteri sebagai sumbangan bagi menjayakan Program CSR Pendidikan di kawasan Parlimen Pagoh.

Muhyiddin berkata, Pendigitalan Pendidikan tidak akan dicapai sepenuhnya jika negara tidak mempunyai kebolehcapaian internet secara menyeluruh.

Jelasnya, menerusi MyDigital, beliau berharap capaian rangkaian internet kelima (5G) mampu menjayakan usaha tersebut.

“Baru-baru ini saya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjumpa dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Raja Salman. Dalam pertemuan itu, saya sebutkan bahawa gangguan masalah yang dihadapi anak-anak kita akibat pandemik Covid-19.

“Ramai pelajar di Malaysia tidak boleh ke sekolah dan tidak boleh belajar di rumah sebab tak ada alat-alat peranti, komputer, laptop dan sebagainya. Belum habis saya cakap soal peruntukan, lantas baginda kata beres, jadi dia cakap begitu kita fikir mungkin dia akan tanggung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya