Produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM1.2 juta dirampas - Utusan Malaysia

Produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM1.2 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelbagai produk kesihatan tidak berdaftar mengandungi steroid anabolik, produk-produk psikotropik dan bahan terlarang bernilai RM1.2 juta dirampas dalam satu serbuan di sekitar Lembah Klang pada 23 Mac lalu.

Sebanyak 10 premis diserbu dalam operasi serentak oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan bersama Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya terhadap penjualan steroid anabolik dan pelbagai produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Datin Dr. Faridah Aryani Md. Yusof, tindakan tersebut diambil rentetan beberapa aduan awam mengenai penjualan produk steroid anabolik di platform e-dagang.

“Melalui risikan bersepadu, 10 premis diserbu melibatkan rampasan sebanyak hampir 300 jenis item merangkumi produk mengandungi steroid anabolik, produk-produk psikotropik dan bahan terlarang lain serta pelbagai produk tidak berdaftar.

“Turut dirampas beberapa peranti digital seperti komputer peribadi, komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium memasarkan produk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Faridah Aryani berkata, penjualan produk-produk kesihatan tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Beliau menjelaskan, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat pula, katanya, boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Steroid dikategorikan sebagai racun terkawal dan hanya boleh diambil atas nasihat doktor serta ahli farmasi. Steroid anabolik kerap disalahgunakan oleh individu untuk membina otot badan.

“Selain mampu merosakkan buah pinggang, penggunaaan steroid tanpa pengawasan boleh menyebabkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan ketidakseimbangan hormon di dalam badan,” katanya.

Beliau mengingatkan pengguna supaya memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat keselamatan hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut.

Katanya, status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan ‘Product Status’ atau dengan menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1-800-88-6722.

Selain itu, ujar beliau, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan tersebut.

“Dalam usaha melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam melalui pemantauan secara berterusan oleh BPF Kementerian Kesihatan, orang ramai digalakkan mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak berdaftar melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

“Selain itu aduan boleh dibuat di mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya