SEPANG: Sebuah premis perniagaan dua tingkat yang menjadi lokasi markas pemindahan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi diserbu pihak berkuasa dalam Ops Gasak di Taman Telok, Telok Panglima Garang, dekat sini semalam.
Serbuan dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa dari pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sepang kira-kira pukul 12.36 tengah hari.
Pengarah KPDNHEP Negeri Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan berkenaan adalah hasil daripada risikan selama tiga bulan yang dilakukan oleh Seksyen Penguat Kuasa pejabat KPDNHEP Cawangan Sepang.
“Hasil risikan itu, pihak berkuasa mengesyaki terdapat aktiviti yang mencurigakan dijalankan di premis berkenaan berikutan terdapat hampir setiap hari lori membawa LPG keluar masuk ke premis terbabit,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini malam tadi. – UTUSAN ONLINE