IPOH: Lebih ramai penduduk di negeri ini boleh menerima suntikan vaksin Covid-19 termasuk di kawasan pedalaman apabila pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak bakal diwujudkan.
Inisiatif tersebut dicadangkan kerajaan negeri bagi memperluaskan akses vaksin kepada seluruh rakyat termasuk masyarakat Orang Asli.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, PPV bergerak itu antara tambahan PPV yang akan diwujudkan bagi memastikan hasrat agar semua rakyat menerima vaksin sepenuhnya dicapai.
Bagaimanapun kata beliau, kerajaan Pusat mahu memastikan pemberian vaksin tersebut selesai sepenuhnya pada hujung tahun ini.
“Perkara tersebut kita bincangkan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bahawa kita sudah ada 31 PPV di seluruh negeri.
“Tetapi kalau guna 31 itu bermakna pemberian vaksin akan selesai pada Mei 2022. Oleh kerana itu tak cukup dan kerajaan negeri diminta untuk tambah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Logo Wanita Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin.
Saarani berkata, kerajaan negeri tiada halangan untuk menambah PPV sedia ada bagi memastikan seluruh rakyat mendapat vaksin menjelang akhir tahun ini.
Ini susulan cadangan kerajaan Pusat yang mahu PPV berskala besar diwujudkan di semua negeri dengan pemberian vaksin kepada kira-kira 8,000 orang sehari.
Menurut Saarani, pihaknya akan mendapatkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah berasrama penuh (SBP) dan sebagainya untuk dikenal pasti sebagai PPV bagi fasa kedua.
“Fasa kedua ini melibatkan orang awam, sudah tentu tidak akan cukup PPV di pusat kesihatan sebab mereka ada perkhidmatan sendiri.
“Setiap daerah telah diminta untuk mengenal pasti PPV masing-masing tetapi dengan syarat tempat-tempat ini ada kemudahan dan keluasan yang sesuai,” katanya.
Menurut Saarani, selain penambahan bilangan PPV, tempoh bagi pemberian vaksin itu juga mungkin boleh dipanjangkan bagi membolehkan lebih ramai penduduk diberi vaksin.
Bagaimanapun katanya, keputusan tersebut bergantung kepada keupayaan kakitangan Kementerian Kesihatan yang terlibat dalam proses pemberian vaksin tersebut.