PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Datuk Dr. Tawfiq Ayman berhubung dakwaan portal mengenai penerimaan dana dikaitkan dengan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, siasatan terhadap Datuk Dr. Tawfiq Ayman itu dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Katanya, memandangkan siasatan kes itu melibatkan keterangan di Malaysia dan luar negara, PDRM sedang mengambil tindakan susulan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002.
“Ini bagi mendapatkan keterangan yang berada di luar negara. Siasatan ini berkenaan penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam akaun milik beliau (Tawfiq) di Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Tambah Zainuddin, sehubungan itu, pihak polis ingin menasihatkan masyarakat untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi melalui mana-mana platform sehingga siasatan polis selesai dan seterusnya dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan suatu keputusan.
Tawfiq adalah suami kepada Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Dr. Zeti Aziz, yang juga bekas Gabenor Bank Negara.
Minggu lalu, sebuah portal melaporkan polis Singapura memberitahu Bank Negara mengenai transaksi mencurigakan berjumlah RM66 juta daripada ahli perniagaan yang sedang diburu, Low Taek Jho kepada syarikat didakwa dimiliki oleh suami dan anak lelaki Zeti pada 2015.