Polis Perak dekati, santuni masyarakat - Utusan Malaysia

Polis Perak dekati, santuni masyarakat

MIOR Faridalathrash Wahid berucap sebelum menunaikan solat Jumaat sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Masjid An- Nur Batu 8, Ulu Kinta dekat Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak memulakan inisiatif untuk lebih mendekatkan diri dengan masyarakat dengan menunaikan solat Jumaat bersama kariah setempat di Masjid Nur Batu 8, Ulu Kinta dekat sini, hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, beliau menganjurkan program seperti itu setiap minggu agar polis dapat berinteraksi dengan masyarakat dengan lebih dekat.

Menurutnya, beliau memilih mengadakan program itu diadakan di Masjid An-Nur di sini kerana ramai dalam kalangan ahli kariahnya terdiri daripada pesara polis yang menetap di kawasan berkenaan.

“Program ini adalah salah satu pengisian yang diaturkan bagi menghargai dan menyantuni pesara polis dan masyarakat yang telah banyak membantu serta menabur bakti dalam aspek keselamatan polis.

“Saya juga menganggap pesara polis dan masyarakat sebagai rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) khasnya PDRM Perak,” katanya ketika berucap dalam program berkenaan hari ini.

Program itu diadakan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214.

Menurut Mior Faridalathrash, beliau juga menitikberatkan kebajikan pesara PDRM dengan cuba mendekatkan mereka melalui program ziarah dan lain-lain.

Katanya, PDRM mewujudkan bahagian dan perjawatan khas iaitu Hal Ehwal Pesara Polis bagi membantu pesara PDRM di seluruh negara termasuk di Kontinjen Perak.

“Justeru, inisiatif yang dibuat oleh pucuk pimpinan ini seharusnya dapat dimanfaatkan oleh pesara PDRM,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Sentral Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintenden Mohamad Shahran Termizi membacakan khutbah seterusnya mengimamkan solat Jumaat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN