KUANTAN: Polis Pahang sedang menjejaki tujuh individu merupakan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Mersing, Johor dipercayai punca penularan Covid-19 di Pulau Tioman sehingga kerajaan terpaksa mengisytihar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di situ.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, berdasarkan siasatan polis, mereka sudah keluar dari pulau peranginan tersebut.
“Pihak polis mengenal pasti tujuh individu yang telah merentas negeri dan sedang mengesan mereka untuk dikompaun RM10,000 bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Hasil siasatan penularan Covid-19 di Pulau Tioman memang berpunca daripada mereka sehingga pulau peranginan itu terpaksa ditutup bagi sebarang aktiviti buat sementara waktu.
“Kita tahu, kesemua mereka ketika ini sudah tidak berada di Pulau Tioman, namun begitu polis mempunyai kaedah dan cara yang khusus untuk mengesan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan 40 buah kenderaan pasukan Kontinjen Pahang di Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar di sini hari ini.
Selasa lalu, media melaporkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di Pulau Tioman dan dipercayai berpunca daripada aktiviti rentas negeri sekumpulan NGO yang mana salah seorang daripada mereka dipercayai positif Covid-19.
Setibanya di Pulau Tioman, mereka tinggal di sebuah chalet di Air Batang beramai-ramai tanpa mengamalkan penjarakan fizikal sekali gus menyebabkan berlakunya penularan jangkitan wabak berkenaan.
Bagaimanapun Abd Jalil berkata, Pejabat Daerah Rompin dan kerajaan negeri akan menguruskan mana-mana pelancong tempatan yang terkandas di pulau tersebut untuk dibawa keluar.
“Bagi mereka yang bergejala akan dibawa ke pusat kuarantin atau hospital terlebih dahulu untuk diasingkan.