Polis Johor gempur sekolah wheelie - Utusan Malaysia

Polis Johor gempur sekolah wheelie

AYOB Khan Mydin Pitchay (dua dari kiri) melihat anggota dari JAS melakukan pemeriksaan bunyi motor pada Ops Khas Ekzos Bising di Taman Kota Masai, Johor. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Polis Johor hari ini menggempur kawasan Taman Kota Masai di sini yang dikenali sebagai Sekolah Wheelie oleh penduduk sekitar kerana merupakan lokasi popular dengan pelbagai kesalahan melibatkan motosikal.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lokasi itu merupakan antara lokasi ‘hot-spot’ membabitkan pelaksanaan Op Khas – Ekzos Bising yang dibuat di seluruh negeri.

Menurut beliau, sejak 1 Mac lalu, sebanyak empat operasi khas itu telah dijalankan di kawasan berkenaan.

“Sejak Op Khas ini dimulakan pada 1 Mac hingga semalam, polis telah menjalankan sebanyak 110 operasi iaitu 4,440 buah kenderaan telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 817 saman berkaitan kesalahan ekzos dikeluarkan, manakala 138 kompaun melibatkan kesalahan dibawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan 146 kompaun di bawah kesalahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Selain itu, polis turut menyita 276 kenderaan atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan modifikasi yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas mengikuti Op Khas – Ekzos Bising yang diadakan di Taman Kota Masai, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah JAS Johor, Dr. Famey Yusof.

Op Khas – Ekzos Bising itu dijalankan atas saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bagi membasmi kegiatan ekzos bising di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ayob Khan turut membidas tindakan segelintir pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikai penguatkuasaan diambil pihak berkuasa berhubung kegiatan ini.

“Pengubahsuaian yang dijalankan terhadap motosikal ini dianggarkan berharga antara RM4,000 hingga RM14,000, manakala denda yang dikenakan hanyalah RM2,000.

“Jadi tidak timbul isu mereka yang melakukan kesalahan ini tidak boleh membayar denda tersebut kerana semua tindakan penguatkuasaan diambil adalah berlandaskan kepada peruntukan undang-undang,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, operasi itu dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama JAS dan JPJ, iaitu tindakan oleh JAS akan dirujuk kepada mahkamah bagi memberi impak lebih berkesan manakala JPJ pula melibatkan pemeriksaan kenderaan yang melakukan modifikasi.

“Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor akan terus menjalankan operasi ini secara berterusan bagi memastikan kegiatan ini dibendung secara menyeluruh.

“Ini merupakan isu awam yang mana perlu ditangani dengan serius dan berhemah dalam memastikan kesejahteraan masyarakat setempat,” jelasnya.

Kesalahan membabitkan pengubahsuaian ekzos ini dibuat dibawah Kaedah 103 Iaitu Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan/Penggunaan) 1959 (LN 170/59) manakala tindakan sita dibuat dibawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya