BUTTERWORTH: Polis menumpaskan sindiket memproses pil ekstasi bernilai RM11.8 juta selepas menahan tiga lelaki di Permatang Pauh, di sini dan Sungai Petani, Kedah, Isnin lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, kegiatan itu terbongkar selepas anggotanya menyerbu sebuah kawasan perumahan elit di Taman Pauh Jaya, di sini kira-kira pukul 9.30 pagi.
Katanya, dua suspek yang cuba melarikan diri merempuh kereta anggota yang melakukan serbuan dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Range Rover Evoque sebelum mereka yang berusia 33 tahun dan 37 tahun ditahan di Taman Sutera, Seberang Jaya.
“Hasil tangkapan itu, polis memeriksa sebuah rumah di Taman Pauh Jaya dan menemukan dadah bersama peralatan memproses serta mesin membuat tablet,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.
Sahabudin berkata, susulan tangkapan itu, seorang lelaki berusia 30 tahun yang merupakan adik kepada salah seorang suspek ditahan pukul 5.30 petang hari sama di Sungai Petani, Kedah.
Beliau menambah, hasil serbuan itu pihaknya merampas dadah dan pelbagai peralatan memproses bahan larangan itu bernilai lebih RM11.8 juta.
“Antaranya kira-kira 170.3 kilogram (kg) serbuk ekstasi bernilai RM10.2 juta; 23.6kg pil Ekstasi (RM1.4 juta); 3,500 biji pil Eramin 5 (RM52,500) dan 22 gram ganja (RM1,000).
“Selain itu, turut dirampas adalah 25kg serbuk kafein (RM8,500); 10 liter cecair alkohol dan tiga unit mesin tablet (RM12,000) bersama enam buah kenderaan mewah, sebuah motosikal jenis Kawasaki Z800 dan barang kemas,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga Isnin ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE