Polis beri amaran 'mesra' kepada penjaja lampu isyarat - Utusan Malaysia

Polis beri amaran ‘mesra’ kepada penjaja lampu isyarat

WAN Rosdy Wan Ismail (tengah, kiri) hadir pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 Tahun 2021 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, Pahang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada penjaja makanan di lampu isyarat supaya menghentikan operasi jualan mereka serta-merta sebelum dikenakan tindakan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, tindakan penjaja terbabit mengganggu lalu lintas selain membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya terutama ketika trafik sesak di kawasan itu.

“Mereka ini boleh dikenakan tindakan saman kerana mengganggu lalu lintas dan pengguna jalan raya.

“Buat masa ini kita belum mengeluarkan sebarang saman kerana pihak polis memberikan amaran ‘mesra’ supaya menghentikan segera aktiviti jualan mereka di lokasi lampu isyarat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 Tahun 2021 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Zakaria Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, Abd. Jalil berkata, PDRM berjaya menahan 1,414 individu yang gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sejak Mac tahun lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 607 telah dituduh dan dihadapkan ke mahkamah di bawah Seksyen 342 kerana melanggarkan SOP.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin keluar masuk merentas negeri ke Pahang supaya mendapatkan surat atau pun permit rentas negeri di balai polis berdekatan bagi mengelak dikenakan kompaun RM10,000.

Ini penting bagi mengelakkan sebarang masalah ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di pintu masuk ke negeri ini.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN