SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan tidak menolak dan bersedia menyertai rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) termasuk dalam isu pembahagian kerusi.
Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, secara prinsipnya, PN juga bersetuju mengelakkan pertembungan tiga penjuru seperti yang disifatkan hanya merugikan kedua-dua belah pihak.
“PN tidak menolak mengadakan sebarang rundingan dan mengalu-alukan rakan kita dari BN jika memikirkan perlu untuk kita duduk dan berbincang. Mungkin kita boleh memperhalusi secara bersama apakah gerakan yang bersesuaian untuk elakkan semua pihak rugi.
“Kita tahu PN dan BN mempunyai asas perjuangan tidak jauh berbeza. Jadi kita boleh bertolak ansur yang saya percaya dalam banyak perkara. Sekiranya ini dilakukan, persaingan tiga penjuru dapat dielak dan ini lebih memantapkan lagi barisan yang bertanding dalam pilihan raya nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengumumkan senarai ahli jawatan kuasa kepemimpinan Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapa, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Hanapi Mohd. Zain dan Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan, Datuk David Choong Vee Hing turut diumumkan sebagai Naib Pengerusi jawatankuasa berkenaan.
Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, selagi pilihan raya umum belum bermula, perbincangan dan perundingan tersebut boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Kami bersedia berbincang asalkan belum pilihan raya, kalau sudah penamaan calon nanti dah tak dapat nak berbincang.
“Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan, kalau tahun depan maknanya sampai hujung tahun kita masih terbuka untuk perbincangan tertakluk kepada perkara-perkara yang akan dibincangkan dan persefahaman yang bakal dicapai,” katanya.
Sementara itu, Eddin Syazlee mengakui ketiga-tiga parti yang menerajui PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan ketika ini tidak mempunyai kekuatan dan pengaruh besar dalam arena politik di negeri ini namun sebagai sebuah gabungan beliau yakin PN boleh diterima rakyat.
“Saya setuju Bersatu, Pas dan Gerakan di Negeri Sembilan tidak kuat tapi PN di Negeri Sembilan kuat kerana kita terdiri daripada komposisi yang mewakili kaum-kaum utama, kita akan jadi kuat,
“Kita tidak boleh kaji keputusan PRU-14 dulu, itu lain isu dan gelombangnya, tapi kali ini kita tahu PN yang ada di negeri ini mempunyai konsep yang sama dengan PN yang menerajui Pusat dan keyakinan itu boleh diterjemahkan menerusi sokogan yang diberikan rakyat melalui mandat yang ada pada kerajaan Pusat sehingga ke hari ini,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE