PM ke Arab Saudi, UAE perkukuh kerjasama - Utusan Malaysia

PM ke Arab Saudi, UAE perkukuh kerjasama

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Arab Saudi bakal membincangkan pelbagai usaha memperkukuhkan hubungan dua hala sedia ada selain meneroka peluang kerjasama baharu dalam meningkatkan hubungan ke peringkat lebih strategik.

Perkara itu bakal tercapai menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula esok hingga 11 Mac yang merupakan lawatan rasmi pertama ke kedua-dua negara itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac tahun lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Perdana Menteri menerima jemputan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud pada April tahun lalu atas dasar keakraban dan hubungan yang terjalin sekian lama antara Malaysia-Arab Saudi.

Dalam lawatan ke Arab Saudi, kedua-dua negara akan menyentuh penubuhan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi (HLSC) di peringkat Menteri Luar sebagai platform menyeluruh hubungan dua hala.

HLSC akan membuka ruang kepada perundingan berkala dalam pelbagai bidang, antaranya isu politik keselamatan antarabangsa, pemulihan ekonomi pasca Covid-19, urusan haji dan umrah, keselamatan makanan dan perdagangan minyak kelapa sawit.

Perbincangan itu termasuk memacu kerjasama dalam bidang sains dan teknologi yang akan menyumbang kepada kepentingan strategik dan ekonomi kedua-dua negara.

“Ini termasuk cadangan penubuhan Pusat Inovasi Teknikal Malaysia-Arab Saudi yang akan menjadi platform bagi menggalakkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam pembangunan bandar pintar, kecerdasan buatan (AI) dan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

“Mengukuhkan kerjasama dalam bidang haji dan umrah dengan pemeteraian inisiatif Mecca Road Service yang akan memudahkan proses pra-pelepasan ibadah haji dan umrah bagi jemaah Malaysia, seperti urusan penerbangan, semakan visa dan pasport, prosedur kastam dan urusan logistik selain kuota haji serta prosedur haji dan umrah,” katanya.

Selain itu kementerian itu memberitahu, lawatan berkenaan juga bakal membincangkan peningkatan perdagangan dan pelaburan dua hala dalam sektor minyak dan gas, serta tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, ini termasuklah kerjasama dalam bidang teknologi baharu, seperti hidrogen, tenaga angin dan penangkapan karbon serta mengukuhkan usaha sama dan maklum balas dalam menghadapi pandemik Covid-19, impak sosioekonomi kepada kedua-dua negara.

Selain itu katanya, turut dibincangkan meneroka pasaran baharu bagi eksport kelapa sawit di Arab Saudi, serta rantau Asia Barat dan Afrika, mengukuhkan kerjasama dalam industri halal termasuk usaha sama antara badan persijilan halal bagi kedua-dua negara.

Dalam pada itu lawatan ke UAE pula akan membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala sedia ada selain meneroka peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang bagi meningkatkan hubungan sedia ada ke peringkat lebih strategik.

Katanya, ini termasuk mempertingkatkan kerjasama dalam fasa pemulihan pasca pandemik menerusi teknologi, inovasi dan kerjasama ekonomi.

Jelasnya, turut dibincangkan penubuhan Gabungan Keselamatan Makanan Antarabangsa (IFSC) dengan matlamat utama untuk mewujudkan daya tahan dan keteguhan dalam rantaian bekalan makanan global.

Sebagai langkah permulaan katanya, Malaysia dan UAE akan menandatangai memorandum persefahaman mengenai Penubuhan Kerjasama Diplomasi Makanan Malaysia UAE selain pengukuhan kerjasama dalam industri minyak dan gas.

“Perbincangan meliputi penubuhan Kursi Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) yang diwujudkan bagi menggalakkan pemahaman dan hubungan kedua-dua negara di samping mempromosikan konsep tadbir urus baik, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan toleransi antara agama seperti yang diterapkan oleh Almarhum Sheikh Zayed Sultan Al Nahyan.

“Mengukuhkan kerjasama dalam industri halal termasuk usahasama badan persijilan halal bagi kedua-dua negara serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama terutamanya penyelesaian damai bagi konflik serantau,” katanya.

Di Arab Saudi, Perdana Menteri akan mengerjakan umrah diikuti ziarah di Madinah manakala program rasmi akan berlangsung di Istana Al-Yamamah, Riyadh pada 9 Mac meliputi majlis sambutan rasmi; sesi menghadap secara maya dengan Raja Salman; pertemuan dengan Putera Mahkota, Putera Mohammed Salman; majlis menandatangani memorandum persefahaman serta majlis makan rasmi.

Di UAE, program rasmi Perdana Menteri akan berlangsung di Abu Dhabi dan Dubai pada 10 Mac merangkumi pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamad Zayed Al Nahyan; Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE dan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya