KUANTAN: Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang menyasarkan seramai 5,000 pembayar zakat perniagaan yang berdaftar di negeri ini menyertai aplikasi Bizzakat selewatnya penghujung 2022.
Pengurus Besar PKZ Pahang, Datuk Halidan Md. Daud berkata, platform yang dibuat dalam bentuk direktori itu dijangka membantu mempromosi sekali gus merancak dan meningkatkan lagi ekonomi umat Islam, khususnya peniaga di Pahang.
“Secara khususnya kita mensasarkan kepada pembayar zakat… setakat ini terdapat kira-kira 5,000 pembayar cukai perniagaan berdasarkan rekod PKZ yang ada, jadi, kita cuba untuk mengutamakan mereka terlebih dahulu.
“Namun begitu, buat masa ini hanya 2,584 sahaja keahlian yang berdaftar dalam Bizzakat dan kita yakin bilangan ini akan bertambah lebih 1,000 lagi dalam masa terdekat selepas maklumat mengenai perniagaan tersebut dikemaskini mereka.
“Dengan itu, kita menjangkakan dalam tempoh sebulan ini, lebih 3,000 perniagaan akan berdaftar manakala selebihnya selewat-lewatnya pada penghujung 2022,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Aplikasi Bizzakat di Pejabat PKZ Pahang di sini hari ini.
Aplikasi Bizzakat dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi sidang video.
Menurut Halidan, PKZ turut membuka laluan kepada mana-mana perniagaan yang masih belum berdaftar sebagai pembayar zakat.
“Melalui cara ini, kita yakin dapat membantu dalam memajukan perniagaan mereka, sehingga memperoleh pendapatan tinggi. Peniaga yang terpilih ini, kita jadikan sebagai perintis dan pantau sehingga perniagaan ini berdaya maju sekali gus dapat membayar zakat menerusi perniagaan mereka.
“Pada masa ini, kadar nisab bagi mewajibkan perniagaan itu membayar zakat adalah RM19,940,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, ahli Bizzakat berada di setiap daerah yang terdiri dari pelbagai kategori seperti peruncitan, ternakan, tanaman dan pelbagai jenis perkhidmatan.
“Dalam pada itu juga, ada juga perniagaan yang diusahakan usahawan-usahawan asnaf yang mendapat bantuan zakat seperti modal atau peralatan dari Majlis Ugama Islam Pahang dan Adat Resam Negeri Pahang.
“Justeru, usaha kecil yang dilaksanakan PKZ ini dapat memberi manfaat kepada ahli Bizzakat sekali gus dapat juga sedikit-sebanyak membantu negeri Pahang dari sudut merancakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya. -UTUSAN ONLINE