PKR tidak sekat kerjasama dengan UMNO - Utusan Malaysia

PKR tidak sekat kerjasama dengan UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: PKR tidak menyekat sebarang kerjasama dengan UMNO dengan meletakkan prasyarat bahawa parti itu boleh bersetuju untuk mengangkat semua agenda reformasi yang diperjuangkan PKR selama ini iaitu keutamaan demi rakyat.

Pengerusi Perhubungan PKR Pahang, Fuziah Salleh berkata, ini termasuk agenda menentang ketidakadilan sosial, menolak rasuah dan salah guna kuasa selain turut menerima Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta mengikut konsep kedaulatan undang-undang.

Beliau menjelaskan, apa yang penting ialah mengekalkan prinsip serta agenda reformasi yang perlu diberi keutamaan.

Beliau turut memetik dapatan sebuah akhbar sebelum ini menunjukkan PKR mendapat 14.41 peratus pilihan sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diikuti DAP (12.06 peratus) dan UMNO (10.46 peratus).

“Saya bawa contoh di Jerman, konsep gabungan besar politik mereka berjaya membawa kepada sefahaman dan agenda kemajuan walaupun berlainan ideologi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujudnya perbincangan dengan UMNO untuk bekerjasama pada PRU-15.

Anwar turut memberi jaminan akan membuat penjelasan kepada ahli PKR untuk mengelakkan masalah yang mungkin timbul dalam rancangan kerjasama dengan UMNO.

Fuziah sebelum ini pernah menyatakan bahawa perjuangan bukan ditegakkan oleh individu tetapi prinsip kebenaran keadilan sejagat.

Katanya, perjuangan parti perlu diteruskan selain bersedia dengan gerak kerja bagi menghadapi PRU-15.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda PKR (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman sebelum ini juga berpendapat, Pakatan Harapan (PH) perlu sentiasa terbuka untuk menerima kerjasama politik dengan sesiapa sahaja termasuk UMNO.

Beliau berkata, keterbukaan PH menerokai kerjasama dengan mana-mana pihak lain akan membuka peluang kepada gabungan itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini juga dilaporkan tidak menolak parti itu bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk PKR, DAP dan Amanah.

Katanya, dalam politik kerjasama dengan mana-mana pihak bukan sesuatu yang mustahil. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya