'PKR kini benar-benar diuji' - Utusan Malaysia

‘PKR kini benar-benar diuji’

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketahanan perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini benar-benar diuji apabila semakin ramai ahli Parlimen meninggalkan parti dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, bermula dari Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu hingga ke saat ini, belasan Ahli Parlimen PKR telah ‘gugur’ dalam perjuangan reformasi dengan pelbagai alasan diberi.

“Jika PKR diibaratkan sebuah kapal, maka bahtera parti kini sedang dilambung ombak dan dipukul badai di lautan yang bergelora.

“Masakan tidak, dalam masa dua minggu, bulan ini sahaja, parti telah hilang tiga ahli Parlimen yang meninggalkan parti dan menyokong PN.

“Amat memilukan apabila saya membaca komen-komen daripada rakan-rakan ahli Parlimen blok pembangkang parti sahabat PKR yang mengutarakan pertanyaan siapa lagi yang kita boleh percaya sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 28 Februari lalu, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dan Ahli Parlimen Julau, Sarawak, Larry Sng Wei Shien menyatakan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin sekali gus meninggalkan PKR.

Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat pula mengumumkan keluar PKR dan menyokong Muhyiddijn serta PN.

Tidak lama selepas pengumuman Xavier, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi gambaran akan ada lagi beberapa ahli Parlimen PKR yang akan lompat parti.

Hassan berkata, sebagai wakil rakyat biasa, beliau dapat menyaksikan ketika ini rakan-rakan ahli Parlimen PKR ditawarkan jawatan selain diancam akan ditangkap polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun katanya, penyokong PKR tidak perlu risau dengan isu lompat parti kerana ‘mengejar kedudukan atau takut dengan bayang-bayang sendiri’, walhal perjuangan parti masih ‘bernyawa’.

“Satu kaji selidik dibuat menunjukkan PKR akan mendapat sokongan tertinggi pengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti dengan undian 14.4 peratus manakala Bersatu hanya memperolehi sokongan 5.08 peratus, lebih rendah peratusannya berbanding parti Muda pimpinan Ahli Parlimen Muar.

“Secara kaveat, saya berwaspada iaitu kaji selidik hanya suatu kaji selidik. Belum tentu jadi fakta dan realiti sebenar dalam PRU-15 tetapi sekurang-kurangnya bagi para penyokong PKR boleh menarik nafas lega,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya