JOHOR BAHRU: PKR Johor bersedia untuk menawarkan perkhidmatan guaman secara percuma kepada mana-mana individu yang dikenakan kompaun secara tidak berpatutan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.
Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pihaknya sedar keperluan kerajaan untuk mendidik masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu, namun kompaun sebanyak RM10,000 adalah satu jumlah yang terlalu besar.
Menurut beliau, kerajaan disaran untuk mengenakan kompaun secara berperingkat mengikut kesalahan pertama, kedua atau ketiga.
“Tidak menjadi kesalahan apabila kerajaan menguatkuasakan sesuatu hukuman bertujuan mendidik rakyat agar mereka patuh kepada undang-undang.
“Tetapi kerajaan juga perlu mengambil kira keadaan semasa rakyat yang terhimpit dengan masalah ekonomi seperti kehilangan kerja, pendapatan dipotong atau perniagaan merosot kesan daripada pandemik Covid-19.
“Sudah tentu nilai kompaun sebanyak RM10,000 satu jumlah yang amat besar yang boleh digunakan mereka untuk teruskan kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan i sini hari ini.
Bermula 11 Mac, kerajaan telah menguatkuasakan perintah kompaun berjumlah RM10,000 kepada individu yang tidak mematuhi SOP ditetapkan dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini.
Tambahnya, pihaknya berpendapatan adalah lebih sesuai jika kerajaan melaksanakan kompaun yang dinaikkan secara berperingkat.
“Contohnya, kesalahan pertama RM1,000, kesalahan kedua RM3,000, kesalahan ketiga RM5,000 dan kesalahan seterusnya RM10,000.
“Selain itu, kerajaan wajib bersikap adil dan tidak memilih kasih atau antara hukuman kepada rakyat biasa dengan wakil rakyat kerajaan.
“Jika rakyat dikenakan kompaun RM10,000 maka menteri juga patut dikompaun dengan jumlah yang sama.
“Tolong jangan ulangi peristiwa dimana ‘Makcik Gelang Pink’ dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 tetapi Menteri Perusahaan Ladang dan Komoditi cuma didenda RM1,000. Walhal keduanya melakukan kesalahan yang sama iaitu ingkar arahan kuarantin,” ujarnya.
Sehubungan itu, Jimmy Puah memberitahu, parti itu akan menawarkan perkhidmatan guaman secara ‘pro-bono’ iaitu secara percuma kepada semua rakyat negeri ini yang dikenakan tindakan dibawah undang-undang itu.
“Justeru, demi memastikan nasib rakyat terbela, saya dan pasukan peguam dari PKR Johor menawarkan khidmat guaman pro-bono (percuma) kepada semua rakyat negeri Johor yang dikompaun atas kesalahan ini,” ujarnya lanjut.- UTUSAN ONLINE